'Terima kasih SSA' – Tunku Ismail

'Terima kasih SSA' – Tunku Ismail

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun dianggap seteru utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), perobohan ‘rumah’ Red Giants turut mencuri perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, Tunku Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada Stadium Shah Alam yang kini menjalani proses pembangunan semula dengan binaa lama sedang dirobohkan.

“Terima kasih SSA”, tulis Pemangku Sultan Johor itu di laman sosial hari ini.

Gelanggang keramat pasukan Selangor FC bukanlah asing buat JDT di mana venue berkenaan pernah menjadi saksi kepada kejayaan skuad Harimau Selatan menjulang trofi.

Untuk rekod, antara pencapaian gemilang adalah pada final Piala FA 2016 apabila JDT menumpaskan PKNS FC dengan keputusan 2-1 untuk memenangi piala itu buat pertama kalinya selepas dijenamakan daripada Johor FA kepada sebuah kelab.

Selepas itu, Harimau Selatan memenangi pula Piala Malaysia 2017 yang turut berlangsung di Stadium Shah Alam dengan menyaksikan gergasi bola sepak negara itu menumbangkan Kedah Darul Aman FC di pentas final.

Stadium Shah Alam yang kali terakhir digunakan empat tahun lalu akan dibina semula dengan reka bentuk lebih moden serta canggih membabitkan kos sekitar RM800 juta.

Venue itu selepas ini akan dikenali dengan panggilan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal melalui beberapa fasa bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Antara ciri moden di KSSA adalah ‘retractable pitch’ (padang boleh alih) yang pertama kali akan digunakan di negara ini selain pembinaan hotel, pusat beli-belah serta bangunan komersial disekitar venue itu.

Ia juga akan dilengkapi dengan teater tertutup untuk aktiviti kebudayaan dan konsert serta rekreasi untuk seisi keluarga selain Pasar Ahad turut dimodenkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top