Terlampau ikut perasaan, Sissy Imann akui menyesal jual album RM20

Terlampau ikut perasaan, Sissy Imann akui menyesal jual album RM20

Penyanyi Sissy Imann mengaku berasa kesal kerana menjual album solonya pada harga murah disebabkan dirinya terlampau mengikut emosi.

Sissy berkata, tindakannya menjual dengan harga RM20  sewaktu dimarahi juri tetap program Famili Duo, Mas Idayu beberapa pada dua minggu lalu adalah tidak berbaloi dengan kos pembikinan album berkenaan.

Cerita Sisyy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil​, kos pembikinan album yang dirakamnya di Abbey Road Studios, London itu menelan perbelanjaan hampir ratusan ribu ringgit.

Tetapi, disebabkan terkesan dengan teguran Mas Idayu sewaktu melakukan persembahan dengan sepupu, Naim Daniel menyampaikan lagu berjudul Jampi, dia terus membuat keputusan untuk jual pada harga RM20.

Tambahnya, keputusan yang dibuat itu adalah hasil daripada tidak berbincang dengan ibu bapanya terlebih dahulu, jika dibandingkan dengan restu menghasilkan album di London.

“Sebenarnya pagi selepas hari kejadian saya keluar bilik untuk minum dan ternampak album ini di depan televisyen. Terus saya ambil dan campak ke lantai tetapi saya kutip semula sebelum masuk bilik.
“Waktu itu terus saya nekad umumkan jual RM20 menerusi hebahan dalam Instagram tanpa berbincang dahulu dengan ayahanda (bapa) serta bonda (ibu). Sedangkan dengan restu mereka saya dapat ke London merealisasikan album ini,”ujarnya.

Penyanyi berusia 28 tahun itu mengatakan dia menyesal kerana ikut emosi kerana tidak mendapat sebarang keuntungan daripada hasil jualan album berkenaan, terutama pengeposan ke Singapura.

“Menyesal. Kalau dihitung balik jumlah caj pos terutama ke Singapura juga berkali ganda daripada harga album.
“Kalau nak untung, baik saya letak harga RM150 sekeping atau lebih tetapi dengan harga RM20 memang tak lepas pun caj pengeposan macam yang saya cakap tadi.
“Apa pun ini semua pengajaran,” katanya.

Sementara itu, Sissy menafikan dakwaan segelintir pihak menyatakan tangisannya pada minggu keenam pertandingan atas pentas Famili Duo hanyalah gimik pra-pelancaran album.

Pun begitu, Sissy memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada orang ramai terutama peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya.

“Alhamdulillah, terima kasih dengan sokongan yang diberi. Insya-Allah perancangan yang dibuat sebelum ini akan diteruskan dan kami juga ada berbincang mahu buat koleksi box set.
“Tengok macam mana dulu, cuma buat masa ini kita juga akan tambah lagi 1,000 unit album fizikal ini selain jual menerusi platform sedia ada.
“Sebenarnya tak balik modal pun kalau jual pada harga baharu, lebih kepada kepuasan dan penghargaan buat penyokong setia,”ujar Sissy.

Malah dia juga menangkis dakwaan tangisan pada minggu keenam pertandingan yang menyaksikan gandingan bersama teman regu merangkap sepupunya, Naim Daniel sebagai gimik pra-pelancaran album.

Dedah Sissy lagi, andai situasi tersebut dijadikan batu loncatan bagi meraih simpati ramai sudah tentu bukan RM20 sebagai sandaran untuk harga jualan membabitkan sebanyak 1,000 unit album tersebut.

Sekadar info, album yang dihasilkan Sissy memuatkan enam buah lagu termasuk karya berbahasa Inggeris berjudul Ain’t Gonna Spoil My Day.

Pada sesi jualan berikutnya, buah tangan bagi kumpulan kedua Sissy ini bakal dijual pada kadar RM50.

Sumber: Kosmo! Online (Hanisah Selamat), Instagram @sissyimann