Terminal minyak Arab Saudi terbakar

RIYADH: Kebakaran dilaporkan di terminal minyak di selatan Arab Saudi seepas terkena serang objek tidak diketahui, ketika ulang tahun keenam serangan tentera terhadap Yaman.

Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata terminal pengagihan minyak di Jizan terkena serangan objek yang tidak diketahui, mengakibatkan kebakaran pada salah sebuah tangki.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan yang dilakukan semalam itu, menurut media rasmi, Saudi Press Agency (SPA).

Laporan itu tidak menyatakan siapa mungkin bertanggungjawab tetapi sejak kebelakangan ini, serangan pemberontak Huthi dari Yaman terhadap loji minyak milik Arab Saudi semakin kerap dilakukan.

Serangan itu berlaku selepas Arab Saudi Isnin lalu menawarkan puak Huthi peluang untuk meletak senjata di bawah pemantauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi menamatkan konflik enam tahun.

Bagaimanapun, puak Huthi menolaknya atas alasan ia ‘bukan sesuatu yang baru’ dan menegaskan tuntutan supaya sekatan ruang udara dan perairan yang diterajui Arab Saudi ditamatkan segera.

Riyadh mengetuai gabungan tentera memasuki Yaman pada Mac 2015 untuk membantu penubuhan kerajaan yang diiktiraf dunia tetapi menerima tentangan hebat kumpulan pemberontak.

Gabungan tentera mendakwa sekatan itu perlu bagi mengekang penyeludupan senjata dari Iran untuk dibekalkan kepada pemberontak, namun ia dinafikan oleh Tehran. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd