am@hmetro.com.my
Dungun: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori dan terbakar di Kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), arah Kuala Terengganu – Kuantan, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang masih belum diperoleh identitinya disahkan meninggal di tempat kejadian.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, PBKII Mohd Kamaruzaman Mohd Safii berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.09 pagi.
“Ketika sampai pihak kami mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori membawa muatan bungkusan.
“Seorang lelaki yang dipercayai penunggang motosikal terbakar dan telah meninggal dunia, ” katanya.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori terbabit dikatakan terbabas ke bahu jalan.
“Dalam masa yang sama, sebuah motosikal yang datang dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar lori terbabit. Akibat rempuhan itu menyebabkan motosikal terbabit terbakar ,” katanya.
Nik Ab Halim berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
“Pemandu lori terbabit yang berusia 37 tahun tidak cedera dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
