am@hmetro.com.my
Shah Alam : Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang dipercayai terbabit dengan pergaduhan menggunakan senjata sehingga mencederakan mangsa di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Sri Muda di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Sampah berkata, siasatan mendapati sekumpulan lelaki menggunakan sebilah parang dan objek menyerupai pistol berhampiran kawasan terbabit kira-kira jam 11 pagi semalam.
“Menurut pengadu (mangsa), dia diserang oleh dua lelaki sehingga mengalami kecederaan parah pada tangan kirinya akibat ditetak menggunakan sebilah parang dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
“Juga mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki objek yang menyerupai senjatapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sabit kesalahan masing-masing boleh dikenakan Seksyen 148 Kanun Keseksaan : Penjara yang boleh sampai 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Seksyen 326 Kanun Keseksaan: Penjara yang boleh sampai 20 tahun dan bolehlah dikenakan denda atau sebat. Seksyen 8 Akta Senjata 1960 : Penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
