Tertuduh dakwa Ijat pulangkan wang sebelum kejadian pukul

Tertuduh dakwa Ijat pulangkan wang sebelum kejadian pukul

am@hmetro.com.my

Tawau: Tertuduh ketiga dalam kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa wang miliknya yang didakwa dicuri telah kembalikan sebelum kejadian mangsa dipukul di bilik kolej itu pada malam 21 Mac tahun lalu.

Saksi pembelaan kelapan (DW8) yang juga pelajar Program Perakaunan di Kolej Vokasional Lahad Datu berkata mangsa menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh kelima (OKT-5) di bilik 7 Resak, kira-kira jam 10.30 malam.

“Saya melihat OKT-5 berbicara sesuatu dengan arwah Ijat yang kemudiannya mengeluarkan RM50 dari poket seluar lalu memberikan kepadanya dan dia juga mengeluarkan buku nota dari loker untuk mengambil wang berjumlah RM27.

“OKT-5 menyerahkan wang itu kepada saya dan tertuduh keempat (OKT-4). Selepas itu, tertuduh pertama menolak Ijat manakala (OKT-4) cuba melibas kabel pengecas telefon bimbit ke arah mangsa tapi tidak kena, namun terkena pada tangan OKT-5,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangan saksinya pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif ketika pemeriksaan balas, saksi itu memaklumkan OKT-11 menawarkan diri untuk bertarung satu lawan satu dengan mangsa.

Nur Nisla : Setuju atau tidak, semasa OkT-11 bertarung satu lawan satu dengan Ijat, dia sudah dalam keadaan yang lemah, setuju?

DW8 : Tidak setuju

Nur Nisla : Pada masa itu, Ijat tidak mampu melawan kamu dan rakan-rakan kamu, setuju?

DW8 : Saya tidak setuju.

Nur Nisla : Setuju atau tidak seseorang tidak akan mampu melawan apabila dipukul oleh 11 hingga 12 orang, setuju?

DW8 : Saya tidak pasti.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Manakala lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Perbicaraan bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top