
Anutin Charnvirakul. Foto Bernama
BANGKOK – Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk segera melaksanakan pengaturan kerja dari rumah (WFH) bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Lalida Prertwiwatthana berkata, arahan itu terpakai untuk jabatan yang WFH tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam, sebagai antara langkah meningkatkan kecekapan pengurusan sumber sektor awam.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga telah mengarahkan agensi untuk menangguhkan lawatan sambil belajar ke luar negara dan program latihan serta aktiviti seperti itu dijalankan secara domestik.
“Semua agensi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah ini sambil memastikan perkhidmatan awam terus tidak terjejas,” kata Lalida dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Beliau menambah, pihak berkuasa akan memantau dengan teliti perkembangan situasi ekonomi dan tenaga global untuk memastikan dasar boleh diselaraskan sewajarnya dan tepat pada masanya.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Jurucakap Kerajaan, Airin Phanpharit mendedahkan bahawa purata permintaan harian Thailand untuk produk minyak ditapis berjumlah kira-kira 124 juta liter.
Beliau berkata, setakat 5 Mac, jumlah rizab minyak negara berjumlah 8.055 bilion liter manakala purata penggunaan produk minyak bertapis adalah kira-kira 3.13 juta tong sehari.
Bagaimanapun, Airin berkata, Thailand terus bergantung pada import minyak mentah, khususnya dari Asia Barat.
Beliau menambah, Thailand kini mempunyai kira-kira 8.054 bilion liter rizab minyak, termasuk rizab berkanun dan komersial, yang boleh memenuhi keperluan tenaga negara pada tahap tertentu.
“Namun Kementerian Tenaga telah mencadangkan langkah penjimatan tenaga tambahan untuk agensi kerajaan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan menjadi contoh kepada sektor masyarakat lain,” katanya. – Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga
- Arahan itu terpakai untuk jabatan yang boleh menjalankan WFH tanpa menjejaskan perkhidmatan awam
- Perdana Menteri Thailand juga telah mengarahkan agensi kerajaan untuk menangguhkan lawatan sambil belajar ke luar negara dan melakukan program latihan secara domestik
- Pihak berkuasa Thailand akan memantau perkembangan situasi ekonomi dan tenaga global untuk menyesuaikan dasar sewajarnya
- Thailand terus bergantung pada import minyak mentah, terutamanya dari Asia Barat, dengan rizab minyak negara berjumlah 8.054 bilion liter



