THT kecewakan TNB sekali lagi untuk bergelar juara Piala TNB

THT kecewakan TNB sekali lagi untuk bergelar juara Piala TNB

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Hoki Piala TNB 2023 berjaya dirampas kembali pasukan Terengganu (THT) selepas menewaskan skuad TNB dengan kemenangan 2-1, sebentar tadi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Lebih manis, kejayaan ini merupakan kejayaan treble pertama THT sejak pasukan itu ditubuhkan 10 tahun lalu.

Kaptennya, Mohd Fitri Saari menyifatkan kemenangan itu merupakan hasil titik peluh seluruh pasukan termasuk berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempercayai usaha mereka selama ini untuk mengulang sejarah menjulang trofi Piala TNB pada tahun ini selepas meraihnya pada dua tahun lalu.

“Satu sejarah untuk THT, ini adalah hasil usaha pengurusan dan menteri besar kami yang percaya dengan penubuhan pasukan ini sejak 10 tahun lalu. Kita berjuang hingga akhir, ini kebanggaan untuk semua rakyat Terengganu.

“Perlawanan tadi, kita banyak terlepas peluang tapi kalau separuh masa pertama kita dapat convert 2 gol, tapi sebab kita banyak terlepas. Tak mengapa, yang penting kita lalui aksi yang dramatik dan bagus untuk penonton.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati sebab ini kali pertama kami treble kan. Ini tahun ke-10 kami, dan kami dapat treble untuk pertama kali,” katanya.

Dalam aksi itu, THT mendahului jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-20 sebelum kedudukan menjadi seri hasil jaringan sudut penalti oleh Azrai Aizad Mohd Kamal dari pasukan TNB pada minit ke-43.

Bagaimanapun, beralih ke suku masa keempat perlawanan bertambah hangat apabila begitu banyak cubaan dilakukan TNB untuk membolosi gawang THT gagal sehinggalah skuad dari Pantai Timur itu membuat kejutan gol pada minit ke-52 menerusi pukulan audit penalti Jang Junghyun.

THT membawa pulang RM25,000 selaku juara Piala TNB dan RM50,000 sebagai juara Liga Hoki Malaysia 2023 (MHL).

Sementara itu, kategori perempuan di bawah Piala Vivian May Soar pula menyaksikan Negeri Sembilan buat julung kalinya memenangi treble menerusi kemenangan penentuan shoutout 3-2 ke atas KPT-Uniten Thunder.

Negeri Sembilan bergelar juara Piala Vivian May Soars 2023.

Dalam aksi itu, sang juara yang beraksi di bawah kendalian K. Rajan mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-21 menerusi gol padang yang dihasilkan Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Bagaimanapun, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan Iren Hussin pada minit ke-43 yang kemudiannya membawa kepada pukulan penentuan penalti shootout.

K. Rajan ketika ditemui pemberita memberitahu dia berbangga dengan kejayaan itu kerana mereka meraihnya dengan cara yang sukar malah dia memuji penjaga gawangnya, Mashitah Ab Khalid atas kemahirannya menghalang bola.

“Perasaan letih tetapi gembira kerana kami menang kerana kami main sangat bagus, walaupun ada dua orang pemain yang dikeluarkan. Sebenarnya saya pun tak tahu atas sebab apa mereka dikeluarkan, tetapi tak apa, kita menang.

“Semalam kami berlatih memang untuk shootout. Sebabnya berdasarkan sejarah perlawanan tahun lepas dan tahun ini, kami bersaing sangat sukar di pentas akhir. Semasa latihan terakhir semalam, kami bersedia untuk shootout dan betul-betul hari ini dapat shootout.

“Semua pemain pun bagus tetapi untuk aksi malam ini, pujian saya berikan kepada penjaga gol, Mashitah sebab dia banyak selamatkan bola, dalam shootout tadi pun dia selamatkan tiga gol,” katanya.

Sebagai juara Piala Vivian May Soar 2023 , Negeri Sembilan membawa pulang RM15,000 dan RM30,000 lagi kerana memenangi Liga Hoki Malaysia 2023 (MHL).