am@hmetro.com.my
Hampir dua bulan menerajui pentadbiran negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilihat mempunyai banyak agenda untuk memajukan Melaka.
Sejak dilantik sebagai Ketua Menteri pada 31 Mac lalu, beliau bersama barisan exco terus berusaha membawa perubahan demi manfaat rakyat di bumi Hang Tuah tanpa menghiraukan cakap-cakap nakal mengenai pelantikannya ke jawatan itu.
Kepada beliau, tiada langsung rasa kecil hati dengan gelaran King, Singa dan Power Rangers yang diberikan netizen selama ini.
Ikuti perkongsian bersama wartawan Media Prima dalam temu bual yang turut disertai Penolong Pengarang Berita Yusmizal Dolah Aling, wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid, juruvideo Shahrul Redzuan Zulkifli dan jurufoto Rohanis Shukri untuk Kafe Ahad minggu ini.
Tahniah Datuk Seri atas pelantikan Ketua Menteri Melaka ke-13. Selepas hampir dua bulan memegang jawatan ini, apa yang boleh Datuk Seri kongsikan?
Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan media yang datang pada hari ini. Hari ini adalah hari yang ke-51 saya diberikan tanggungjawab memimpin negeri Melaka.
Antara penambahbaikan saya lakukan dalam mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri adalah mencadangkan beberapa perkara baru.
Pertama, pada setiap hari Isnin jam 10 pagi seluruh agensi dan jabatan kerajaan diminta memberikan penghormatan kepada nyanyian lagu Negaraku dan negeri Melaka sebagai tanda semangat patriotisme kepada negara dan negeri.
Kedua, mesyuarat dijalankan di semua peringkat sama ada mesyuarat jawatankuasa kecil atau bertaraf majlis keselamatan kerajaan negeri diminta dimulakan dengan bacaan umul kitab sekiranya tidak ada mana-mana tokoh yang boleh membaca doa.
Ketiga, pendekatan yang saya berikan terhadap semua mesyuarat kerajaan negeri adalah dengan mempertingkatkan kualiti dan keselamatan mesyuarat.
Telefon bimbit tidak dibenarkan masuk dalam semua mesyuarat kerajaan yang berskala terhad bagi mengelakkan ketirisan dalam keputusan yang dibuat dan menjamin keselamatan rahsia pentadbiran kerajaan.
Itu antara perkara saya tekankan dan setiap hari pada jam 8 pagi kita akan memohon semua kakitangan kerajaan memulakan tugas dengan iringan bacaan doa daripada Mufti Melaka.
Alhamdulillah setakat hari ini, semua tatacara penambahbaikan dalam kaedah pengurusan jabatan dapat dilaksanakan dengan baik.
Sejak duduk di kerusi Ketua Menteri pada 31 Mac lalu, ada beberapa kenyataan atau arahan Datuk Seri yang dilihat agak drastik seperti arahan kepada agensi kerajaan untuk selesaikan aduan rakyat dalam tempoh dua minggu, berkaitan ‘response time’ dan ‘jangan menjual nama saya’. Boleh Datuk Seri ulas lanjut?
Dalam amanat saya yang pertama kepada semua kakitangan kerajaan (berdasarkan pengalaman) setahun saya menjadi exco kanan, saya lihat banyak nama ahli yang berhormat digunakan untuk mereka raih keuntungan dalam membida mana-mana projek.
Perkara ini saya mesti tegas dan tegah di peringkat awal.
Saya tak izinkan mana-mana pihak di luar sana menggunakan nama saya untuk mendapatkan projek tanpa merujuk kepada sumber yang betul termasuk semua pegawai kanan saya dalam pejabat juga tidak dibenarkan menggunakan nama saya sebagai rujukan untuk mendapat mana-mana tender kecil atau besar.
Kedua, saya melarang dan tidak mengizinkan semua kakitangan kerajaan pada waktu pejabat beriadah dengan bermain golf.
Tiada lagi pegawai-pegawai kanan berkeliaran di padang golf pada waktu pejabat. Selepas waktu pejabat, itu terserah kepada kelapangan diri masing-masing untuk beriadah.
Saya juga mengarahkan semua aduan dan permohonan diterima untuk urusan kerajaan mesti diselesaikan dalam tempoh dua minggu daripada tarikh penerimaan sumber aduan sama ada melalui sumber media sosial atau surat rasmi ke jabatan kerajaan.
Semua laporan atau aduan akan direkod dan disaring mengikut jabatan masing-masing serta dipantau oleh satu unit khas melihat aliran pengaduan tersebut sehingga hari penyelesaian dalam tempoh dua minggu.
Tinjauan rambang yang saya buat setakat hari ini, kebanyakan masalah telah diselesaikan dengan baik.
Adakah ini termasuk masalah kecil seperti longkang, parit dan sampah?
Kita ada unit yang menilai masalah di media sosial sama ada longkang tersumbat, jalan sesak, rumput panjang, binatang peliharaan berkeliaran yang menjejaskan keselamatan orang ramai juga kita ambil tindakan dengan kadar segera.
Sebelum ini banyak gelaran diberikan kepada Datuk Seri seperti King, Singa dan Power Rangers serta dakwaan bahawa Datuk Seri sangat berpengaruh dalam politik Melaka. Apakah Datuk Seri pernah berkecil hati?
Sebagai seorang ahli politik saya menerima ini sebagai asam garam dan rencam politik yang harus diterima kepada semua ahli politik, bukan saya sahaja. Pemimpin besar, besar kecamannya atau besar pujiannya.
Pemimpin kecil, kecil pujiannya atau kecil kecamannya. Pemimpin sederhana, sederhana kecamannya atau sederhana pujiannya.
Kita sebagai ahli politik kena menerima dengan hati yang terbuka untuk kita maju ke hadapan dan mengambil ini sebagai panduan untuk memacu jabatan yang kita pimpin atau negeri yang kita bawa.
Daripada cemuhan, kecaman dan kutukan mereka ini saya terjemahkan dalam visi saya cakap tadi. Insya-Allah sudah pasti, visi yang saya kemukakan tadi menjadi realiti dan jawapan kepada cemuhan, kutukan serta cercaan yang ada pada diri saya.
Saya jadikan itu sebagai pedoman. Nak kecil hati, tak adalah. Nak kecil hati beribu orang nak ‘balun’ kita dan nanti kita akan jadi bingung serta murung. Menjadi pemimpin yang besar, jiwa kena besar dan visi kena besar kerana kita akan memberikan segala hala tuju negeri ini kepada rakyat yang mendapat faedah kepada pentadbiran kita.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, politik Melaka dilanda macam-macam kontroversi apabila Datuk Seri memutuskan untuk ‘balik kampung’ berpolitik di Masjid Tanah, tinggalkan Bukit Bintang yang politiknya lebih urban. Apa sebenarnya yang mendorong Datuk Seri membuat keputusan itu?
Saya dilahirkan di bumi ini di tempat yang kita duduk pada hari ini. Ini merupakan kawasan sawah padi sewaktu saya dilahirkan pada 1961. Ibu bapa saya merupakan penoreh getah semasa membesarkan saya di tempat saya dilahirkan dan dibesarkan ini. Sewaktu berhijrah ke Kuala Lumpur, saya berpolitik di bandar, mempunyai 1,001 kemewahan, keselesaan hidup, bandar yang lengkap dengan infrastruktur yang terbaik. Saya mengimbau kembali setelah saya melangkah ke dalam dunia politik dan bertapak sehingga menjadi seorang setiausaha kerja parti.
Saya melihat ada banyak ruang untuk saya kembali ke tempat saya dilahirkan ini berdasarkan pengalaman yang ada sewaktu berada di Kuala Lumpur.
Sebenarnya, sewaktu saya menjadi seorang ahli politik di Kuala Lumpur, saya sebenarnya tidak berhasrat untuk balik ke Melaka.
Tetapi ayahanda saya berada dalam keadaan tidak sihat selama 13 tahun dan saya balik setiap minggu. Saya juga didatangi oleh rakan-rakan politik di Masjid Tanah dan ‘melamar’ agar lebih baik saya berbakti di bumi sendiri.
Jadi saya terima dengan baik nasihat mereka. Kata orang Melaka, kapal dagang dari seberang, penuh sarat kayu meranti, bertahun lamanya berdagang di negeri orang, lebih baik berbakti di bumi sendiri.
Boleh Datuk Seri perjelas apa dasar baharu yang diperkenalkan Datuk Seri dan apa pelan atau perancangan masa depan?
Dasar baharu yang akan saya buat penambahbaikan adalah terhadap kesejahteraan dan keharmonian rakyat yang bukan sahaja rakyat Melaka, tetapi juga pelancong yang masuk ke negeri ini.
Satu kajian terperinci sedang dijalankan oleh semua agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kesesakan lalu lintas menuju ke bandaraya Melaka ini dapat dikurangkan.
Saya cuba memperkenalkan satu cara baru bagi menyelesaikan jalan sesak masuk ke Melaka pada waktu puncak dengan memberikan satu idea baharu iaitu ‘no right turn’ (iaitu) jalan masuk ke bandar Melaka dari susur keluar SPA atau AMJ akan terus sampai ke bandaraya dalam masa yang dirancang.
Kesesakan jalan raya ini menyebabkan banyak perjalanan yang dirancang tidak dapat sampai ke destinasi pada waktu ditetapkan.
Disebabkan itu, kajian terperinci sedang dilakukan dan Insya-Allah ada sembilan titik jalan sesak di Melaka sedang dibuat kajian terperinci.
Saya sendiri akan turun ke lapangan pada waktu sesuai sebelum pelaksanaan ‘no right turn’ ini dilaksanakan.
Insya-Allah, semua titik jalan sesak ini dalam kajian terperinci bagi memastikan pengguna jalan raya yang mahu ke pejabat atau pelancong yang nak datang ke Melaka sampai pada waktu yang dirancang.
Selain itu pada hujung minggu, jalan yang menjadi tumpuan pelancong akan ditutup kepada kenderaan yang dipanggil no car zone atau free car zone yang akan dilaksanakan seawal bulan Julai.
Kajian juga sedang dilakukan di mana kawasan yang menarik perhatian pelancong sekitar tiga kilometer dari Red Square atau Gereja Stadhuys sehingga ke Jonker Walk akan ditutup bermula jam 5 petang pada hari Jumaat sehingga 5 petang pada hari minggu.
Saya melihat dengan penutupan jalan pada hujung minggu ini akan memberikan pulangan ekonomi kepada penjaja dan peniaga sekitar kawasan yang telah kita wartakan sebagai ‘no car zone’.
Daripada tahun 2019 sehingga Datuk Seri mengambil alih kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Melaka banyak kemelut yang berlaku. Bagaimana Datuk Seri menilai keadaan politik di Melaka?
Penilaian politik Melaka bermula pada tahun 2018 setelah BN tidak dapat membentuk kerajaan. Pada waktu itu, kita hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita memerlukan 15 kerusi agar dapat membentuk kerajaan.
Setelah berlakunya Langkah Sheraton, Melaka menerima angin perubahan dan ia beralih ke negeri ini.
Waktu ketika itu, saya memimpin dan mengelola suasana politik Melaka sebagai Pengerusi Perhubungan BN dan membuat penilaian sekiranya ada perubahan, maka perubahan utama hendaklah diberi kepada BN kerana kita mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang cukup besar iaitu 13 kerusi.
Perubahan ini berlaku pada 20 Mac 2020 apabila adanya penghijrahan empat orang wakil rakyat yang ingin bersama-sama BN untuk membentuk kerajaan.
Waktu ketika itu, suasana juga dilihat baik untuk kita menerima keempat-empat wakil rakyat ini bagi membantu membentuk kerajaan dan akhirnya terbentuklah sebuah kerajaan yang diterajui oleh BN.
Selepas berjalan selama 18 bulan, kita juga melihat suasana politik ini sudah berubah yang mana ada beberapa orang wakil rakyat ingin membentuk kerajaan bersama parti yang telah tumbang pada 2018. Akhirnya kita mengambil keputusan supaya Dun dibubarkan.
Hasil daripada itu, pada tahun 2021, kita berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dengan ratio lebih 3/4.
Selepas itu, berlaku satu lagi perubahan PRU di mana terbentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat maka diterjemahkan dalam perubahan pentadbiran kerajaan negeri Melaka.
Semua parti-parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan ada dalam Melaka, mengurus tadbir negeri Melaka di bawah pentadbiran saya.
Saya menerima dengan baik beberapa cadangan supaya penglibatan parti yang bergabung di bawah naungan perpaduan di Putrajaya, diterjemahkan perpaduannya di peringkat negeri Melaka.
Oleh demikian, saya membuka satu ruang memberikan seorang Adun daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi ahli mesyuarat kerajaan negeri Melaka iaitu exco daripada PH.
Saya juga membuka ruang yang lebih luas dengan melantik semua Adun yang tidak berjawatan menjadi timbalan exco membantu Kerajaan Perpaduan.
Kita ada exco daripada Umno, MCA, MIC dan PH. Di bawah naungan itu, kita ada Adun yang diangkat tarafnya menjadi timbalan exco.
Alhamdulillah setakat hari ini, sebelum persidangan dewan akan datang, kesepakatan dalam membentuk dan merangka pembangunan Melaka dapat diterjemahkan dengan sumbangan idea dan cadangan daripada semua pihak untuk bersama-sama membangunkan negeri Melaka demi untuk rakyat.
Bagaimana Datuk Seri lihat potensi Kerajaan Perpaduan di Melaka ini. Adakah ia boleh melangkau selepas PRU-16 nanti? Dari segi jangka panjang, adakah ia boleh berterusan?
Saya memanggil tahun 2023 adalah satu politik baru dalam Malaysia. Politik baru berubah setelah keputusan PRU-15 lalu dan Melaka adalah sebuah negeri yang telah menunjukkan kesepakatan perpaduan ini dengan adanya gabungan parti-parti ini dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka sekarang.
Untuk menjangkakan ia diterima oleh rakyat atau tidak, selepas tamat tempoh Kerajaan Perpaduan ini, kita akan serahkan balik diri kita kepada rakyat untuk diberi mandat semula.
Sudah pasti saya merangka beberapa hala tuju baru supaya hasil daripada Kerajaan Perpaduan ini dapat memberikan pulangan yang baik kepada rakyat dengan menjadikan negeri ini lebih mesra pelabur, perniagaan yang membuka ruang dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Keyakinan ini mesti disemai sehingga rakyat dapat merasakan bahawa pentadbiran kerajaan ini ialah sebuah pentadbiran yang baik di samping dapat membentuk imej serta memberikan rakyat peluang pekerjaan untuk bersama-sama membina Melaka sebagai sebuah negeri yang dulunya tidak mempunyai hasil bumi tetapi dengan dasar pelaburan dan perindustrian, ia dapat memberi jaminan kepada rakyat Melaka.
Untuk pengetahuan semua, Melaka hanya mempunyai satu juta rakyat. Daripada sejuta rakyat Melaka ini, 150,000 orang bekerja dan mencari rezeki dalam sektor industri di seluruh Melaka. Selebihnya mengikut perangkaan, bekerja dengan kakitangan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri.
Saya lihat secara keseluruhan, sumbangan kepada kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) telah memberikan satu pulangan yang baik untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan ini akan mengurus tadbir jauh lebih baik dengan memberikan ruang seluasnya rakyat dapat mencari rezeki di bawah dasar pelaburan kerajaan negeri.
Untuk pengetahuan umum, hasil daripada dasar yang dipelopori oleh pemimpin terdahulu menyebabkan 150,000 rakyat Melaka mendapat peluang pekerjaan ini.
Melaka juga dipilih oleh beberapa syarikat konglomerat terbesar di dunia sebagai pusat pengeluaran industri berteknologi tinggi.
(Contohnya) sebuah syarikat berteknologi tinggi dari Jerman memberikan peluang pekerjaan kepada seramai 15,000 rakyat Melaka.
Daripada 15,000 orang ini, 3,500 orang adalah jurutera yang terdiri anak tempatan dan sedang menikmati peluang pekerjaan hasil daripada dasar yang dibuat oleh kerajaan. Syarikat ini juga menyumbang 25 peratus pasaran cip seluruh dunia yang datangnya dari Melaka.
Sungguh pun Melaka negerinya kecil, tetapi kehebatannya menjangkaui dan memberikan sumbangan kepada pengeluaran industri cip dunia.
Banyak lagi syarikat yang telah bertapak di Melaka melebihi 50 tahun. Saya yang mengambil alih teraju kerajaan pada ketika ini, sedang mengenalpasti syarikat-syarikat yang telah lama berada di Melaka ini.
Dasar pelaburan dan perindustrian yang akan dipelopori di bawah teraju saya, Insya-Allah rakyat Melaka akan menilai dan memberikan kepercayaan kepada kita untuk meneruskan pentadbiran ini selepas pilihan raya akan datang.
Sama ada diterima rakyat selepas Kerajaan Perpaduan ini wujud, kita minta rakyat menilai hasil daripada dasar kerajaan negeri sedia ada.
Bagi tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, apakah sasaran diletakkan oleh Datuk Seri terhadap kemasukan pelancong ke negeri ini?
Untuk menilai jumlah kemasukan pelancong, kita akan melancarkan Melaka Super Apps. Melaka Super Apps adalah satu peranti melalui telefon bimbit yang mana mereka boleh beriadah dengan menjadikan Melaka Super Apps sebagai bahan perantaraan untuk pembelian di tempat lokasi beriadah.
Maksudnya cashless state akan dilancarkan sempena TMM. Data daripada pendaftaran Melaka Super Apps ini akan dijadikan sumber kepada jumlah sebenar pelancong yang datang.
Berbanding dengan kaedah sekarang, kita hanya bergantung kepada mereka yang mendaftar masuk di hotel dan kemudiannya mereka beriadah. Perkara ini menyebabkan berlakunya banyak kemasukan berganda.
Saya menjangkakan lebih lapan juta orang akan datang pada tahun hadapan berdasarkan pelbagai promosi yang kita sedang rancang. (Bagaimanapun) saya mengharapkan sasaran (kedatangan ini) lebih 10 juta. Penginapan dan hotel di Melaka cukup untuk menerima pelancong selain pembukaan hotel baru juga amat menggalakkan. (Sebagai contoh) sebuah hotel bertaraf lima bintang iaitu JW Marriot sudah pun dibuka di Melaka. Kedatangan nama-nama besar ini menunjukkan mereka juga berdaya saing dan boleh menerima pelancong datang ke Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd
