Tidak dilantik dalam Kabinet baharu, Zulkifli pilih aktif di media sosial – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Biarpun tidak dilantik semula di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memilih untuk aktif di media sosial.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu kini ‘ligat’ di pelbagai saluran media sosial peribadinya sejak dua minggu lalu.

Antara yang dikongsi menerusi saluran laman sosialnya termasuk kuliah dhuha secara maya, kisah-kisah biografinya, penerbitan buku dan mengendalikan sesi kuliah agama.

Kuliah dhuha yang dikendalikannya diadakan setiap Sabtu dan Ahad menerusi Facebook, Twitter Spaces dan Youtube.

Terbaharu, Zulkifli hari ini mengesahkan beliau berjinak-jinak dalam bidang masakan pula apabila menyertai Group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI).

Perkara itu disahkan Pengasas SMAHI, Mohd. Salleh Ab. Hamid atau Rodk, hari ini.

Rodk turut mengesahkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor turut menyertai SMAHI hari ini.

Zulkifli menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau berterima kasih kepada SMAHI kerana memberi ruang untuk menyertai kumpulan Facebook itu.

“Bagus ada group macam ni. Sama-sama belajar masakan semua bangsa. Kita ringankan tugas isteri dan…biasanya kalau suami masak, kadang-kadang lagi sedap daripada isteri masak.

“Hidup rumah tangga ni kena saling membantu suami isteri. Kerja rumah itu bukan kewajipan isteri tapi atas sifat ihsannya dan kasih sayang yang Allah kurniakan kepada isteri, isteri buat kebanyakan urusan tu,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Zulkifli berkongsi resepi dan petua makanan kegemarannya iaitu nasi lemak ikan tongkol.

Menerusi pengumuman pembentukan Kabinet baharu semalam, Ismail Sabri melantik Naib Presiden Pas, Idris Ahmad bagi mengisi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). -UTUSAN ONLINE