Salah guna nama pegawai AKPS: Tiga individu beri keterangan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang mengenal pasti pihak yang dipercayai terbabit kes penyalahgunaan nama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pegawainya untuk urusan perolehan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan pada 12 Ogos lalu.

“Susulan itu, seramai tiga individu terdiri daripada pengadu dan saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, kita masih dalam usaha mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan turut menjurus kepada sama ada ia membabitkan sindiket penipuan.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan mana-mana sindiket penipuan terbabit dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, AKPS membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah dan pegawainya untuk urusan perolehan.

AKPS dilapor berkata, berdasarkan aduan diterima, terdapat syarikat yang sudah menerima dokumen didakwa sebagai Surat Setuju Terima (SST) yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah AKPS.

Katanya, ia membabitkan sejumlah nilai perolehan bagi pembekalan antaranya jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis.

Dokumen itu dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS dan pegawai serta kepala surat palsu bagi meyakinkan pihak syarikat, tawaran berkenaan adalah urusan rasmi daripada AKPS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top