Tidak merujuk pembentukan kerajaan baharu – Saifuddin

Tidak merujuk pembentukan kerajaan baharu – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan dalam ucapan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat dukungan daripada sebahagian Ahli Parlimen pembangkang, bagi menyelesaikan isu tertentu.

“Ia (cadangan) tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu, tetapi kerajaan PN yang insya-Allah jika ada sokongan daripada Ahli Parlimen lain, termasuk pembangkang, maka ia menjadi sebuah kerajaan yang mendapat dukungan dalam isu tertentu yang fundamental,” katanya dalam program Soal Rakyat terbitan TV3, hari ini.

Saifuddin berkata, kesediaan kerajaan PN untuk berunding dengan pimpinan parti di luar kerajaan adalah bertujuan mewujudkan kerjasama bipartisan demi kestabilan negara, selain memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19, dan menunjukkan politik lebih matang serta inklusif.

Beliau berkata, tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan kepada Ahli Parlimen, terutama pembangkang itu adalah satu mercu tanda dalam perkembangan politik Malaysia.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, jika semua Ahli Parlimen berlapang dada tanpa memikirkan untuk menjatuhkan individu lain, ada banyak ruang supaya cadangan terbabit dapat dilaksanakan.

“Soal kerajaan minoriti yang ada persefahaman dengan pembangkang ini bukan perkara baharu. Hari ini pun ada lebih kurang 10 atau 12 negara lain di dunia, yang mempunyai persefahaman sedemikian rupa.

“Dalam tujuh perkara persefahaman itu, saya melihat ia sangat baik. Sebahagian besarnya membabitkan perkara yang sudah dibicarakan sejak beberapa tahun lalu, baik oleh parti politik atau masyarakat sivil,” katanya sambil menambah beliau secara peribadi sangat gembira dengan kesemua tujuh cadangan berkenaan.

Saifuddin berkata, politik di Malaysia terlalu serius sehingga mengakibatkan sebilangan masyarakat mahupun keluarga bergaduh akibat perbezaan pendapat.

“Politik di Malaysia terlalu tajam sehingga menghiris, membawa luka yang besar sampai adik-beradik boleh berkelahi, satu kampung berpecah. Jadi sudah sampai seruan untuk politik bipartisan,” katanya.

Semalam, Muhyiddin membentangkan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan menjemput pimpinan parti politik dari luar PN untuk berbincang mengenai cadangan itu, minggu depan, dan beliau bersedia mendengar pandangan semua pemimpin politik.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top