Tiga kanak-kanak mandi di Pantai Irama hampir lemas

Tiga kanak-kanak mandi di Pantai Irama hampir lemas

am@hmetro.com.my

Bachok: Kegembiraan tiga kanak-kanak mandi manda bertukar tragedi apabila mereka hampir lemas di Pantai Irama, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, kesemua mangsa berusia antara 8 hingga 10 tahun dipercayai sepupu berjaya diselamatkan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata, mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki.

Katanya, ketika kejadian petugas penyelamat pantai APM berada di Zon 6, tidak jauh dari lokasi kejadian dan terdengar jeritan orang ramai yang melihat mangsa hanyut.

“Kesemua mangsa segera diselamatkan dan berjaya dibawa ke darat. Dua kanak-kanak perempuan selamat pulang ke rumah, manakala mangsa kanak-kanak lelaki dikejarkan ke Hospital Bachok untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat membabitkan lima anggota itu tamat pada 6 petang.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada ketika melakukan aktiviti pantai dan ibu bapa diingatkan agar memantau anak masing-masing selain patuh peraturan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top