Tiga lelaki bergaduh tidak diberi laluan memotong   

Tiga lelaki bergaduh tidak diberi laluan memotong   

DUNGUN: Tiga lelaki bergaduh selepas salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati setelah tidak diberi laluan untuk memotong ketika memandu di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, hari ini. 

Rakaman video pergaduhan tersebut berdurasi 1.52 minit yang dirakam pengguna jalan raya tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat berkenaan kejadian. 

“Pergaduhan itu berjaya dileraikan anggota polis dengan dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian. 

“Difahamkan, punca pergaduhan mereka dipercayai rasa tidak puas hati apabila salah seorang pemandu tidak memberi laluan untuk memotong kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, Baharudin berkata, hasil perbincangan, ketiga-tiga lelaki itu bersetuju tidak memanjangkan kes tersebut dan mereka tidak membuat laporan polis mengenai perselisihan faham tersebut.

“Sehingga kini, kita tak terima sebarang laporan berhubung insiden ini.

“Saya nasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa bertolak ansur dan mematuhi peraturan jalan raya serta tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

 

Scroll to Top