MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berdepan krisis kepimpinan serius selepas tiga pimpinan utamanya mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut sekali gus menyaksikan struktur parti di peringkat negeri itu kini hampir lumpuh.
Difahamkan, tindakan itu bermula apabila Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu berkuat kuasa serta-merta.
Razali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca tindakan berkenaan.
Beliau yang merupakan pengasas penubuhan Bersatu pada 2016 mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu.
”Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu kepada Muhyiddin pada pertengahan bulan lalu.
”Setakat ini, pihak ibu pejabat parti termasuk Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan untuk menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir pada program makan durian bersama Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) dan Exco Pelancongan di Kampung Lubuk Batu di sini pada Khamis.
Program itu turut dihadiri Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Badrolhisham Mohamed @ Shafie serta Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Negeri, Lim Chew Sieng.
Terdahulu, Razali mengumumkan peletakan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersatu Negeri pada hari sama.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal mengesahkan akan turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Marang pada 15 September depan.
Jelasnya, penangguhan peletakan jawatan bahagian itu dilakukan bagi membolehkan beliau menyelesaikan tugasan pentadbiran parti yang masih berbaki.
”Saya hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan dan Ketua Bahagian, tetapi masih kekal sebagai ahli parti,” katanya.
Situasi itu dilihat semakin meruncing apabila dua lagi pemimpin kanan parti turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing iaitu ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang turut melepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu Negeri manakala ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin melepaskan jawatan Bendahari Bersatu Negeri.
Krisis berkenaan dijangka terus meluas apabila Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Khazan Che Mat turut memberi gambaran bakal mengikut jejak langkah rakan kepimpinannya.
Khazan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus merangkap Timbalan Yang Dipertua DUN Terengganu memberi kiasan berhubung pendiriannya.
”Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali, jika dia letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan. Jika kepala tiada, ekor akan mengikuti,” katanya.



