firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sambutan jualan tiket bagi perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Asean babitkan Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok sudah terjual 10,210 tiket.
Maklumat terbaharu itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman sosial badan induk itu pada jam 11 pagi tadi.
Jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang petang ini sehingga esok, dengan venue berkenaan mampu mengisi sehingga 80,000 tempat duduk.
Perlawanan itu dianggap penting buat skuad kendalian Pau Marti Vicente dalam misi layak ke separuh akhir saingan serantau itu.
Harga yang ditawarkan bagi aksi getir itu cukup berpatutan bermula serendah RM30 untuk tiket Terbuka, tiket Grandstand RM50, tiket Premium RM60 dan RM5 untuk tiket kanak-kanak.
Pembelian tiket boleh dibuat di atas talian dengan menggunakan website bit.ly/TiketAMEC24 sekarang.
Ketika ini, skuad negara menghuni tangga keempat Kumpulan A dengan mengumpul empat mata bersama Kemboja di tangga ketiga, manakala Singapura di tempat kedua (enam mata) dan Thailand di kedudukan teratas (sembilan mata).
Skuad negara wajib menewaskan Singapura untuk mengumpul tujuh mata, sambil Kemboja pula akan bertandang ke Thailand dalam satu lagi aksi di Bangkok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




