Titah Adendum: Kerajaan disyor dedah butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan

Titah Adendum: Kerajaan disyor dedah butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan disyor mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan Titah Adendum.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ia bagi memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Katanya, selain itu, ia juga sebagai langkah itu bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.

“Saya harap perkara ini (nyahsulit) dapat dipertimbangkan oleh Kabinet supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu (Lembaga Pengampunan), apa pandangan telah dikemukakan serta keputusan diambil Al-Sultan Abdullah ketika itu.

“Biar perkara ini ada clarity (kejelasan) supaya tiada pihak cuba memainkan atau melagakan pihak eksekutif dengan istana dan sebagainya.

“Sebab itu, dalam perkara ini kita perlu objektif dan bukannya bermain politik,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Balai Berita Bangsar, di sini hari ini.

Isnin lalu, dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Najib memberitahu perintah adendum berhubung tahanan rumah dihantar Istana Negara kepada peguam negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada 29 Januari 2024.

Dalam keputusan majoriti 2-1 itu, Hakim Datuk Seri Firuz Jaffril menyatakan Najib menulis kepada enam daripada tujuh responden yang dinamakan dalam rayuan bagi mengesahkan kewujudan adendum berkenaan, namun tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.

Enam responden itu ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun isu pengampunan Najib mencetus perdebatan berikutan didakwa Titah Adendum dikatakan pembangkang sengaja disembunyikan oleh kerajaan.

Shamsul Iskandar berkata, pendirian kerajaan adalah berpegang keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan tidak berdasarkan keterangan ‘hearsay’ (keterangan dengar cakap).

Justeru, beliau yakin Peguam Negara mengkaji keputusan Mahkamah Rayuan dan tertakluk kepada mereka membawanya ke Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes.

“Kenapa pula Istana Pahang memperaku Titah Adendum, walhal kita tahu prosiding perlu diperakukan Istana Negara sebab As-Sultan Abdullah ketika itu Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu, dalam pertikaian ini banyak pertikaian dari sudut undang-undang yang boleh dibangkitkan, disabitkan dengan titah tambahan itu.

“Pada saya, apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau mempunyai jiwa yang besar. Kita tahu dalam sidang pertama Lembaga Pengampunan, agenda pengurangan hukum Najib itu tidak dibawa dalam agenda,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata seperti dijelaskan Anwar dalam sidang Parlimen sebelum ini, tiada agenda itu sehingga beliau sendiri mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong agenda berkenaan dan bermula prosiding itu.

“Justeru, saya tak nampak mengapa dalam kalangan pemain politik yang melemparkan tuduhan tidak munasabah, berniat jahat dan bertujuan untuk melecehkan usaha yang dibuat Perdana Menteri,” katanya.

Shamsul Iskandar yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya kesal apabila pembangkang menggunakan peluang itu untuk menunggang isu berkenaan.

“Bagi saya jangan menunggang yang pada kita sudah jelas prosesnya dari awal (sebab dibawa kepada Lembaga Pengampunan).

“Kenapa pula selepas proses Mahkamah Rayuan, baru keputusan untuk memberi kebenaran, Perdana Menteri dilemparkan pelbagai tuduhan, berbohong dan sebagainya.

“Kita tidak tahu adakah benar wujud ataupun tidak Titah Adendum itu, kerana hari ini sedang diadakan mesyuarat Kabinet,” katanya.

Berhubung dakwaan pembangkang, dokumen titah itu disembunyikan, Shamsul Iskandar berkata, tiada sesiapa berbuat demikian melainkan ia serangan politik tidak berasaskan kepada fakta dipegang kerajaan berdasarkan keputusan mahkamah.

“Keputusan Mahkamah Tinggi peringkat awal menyatakan ia kenyataan hearsay (khabar angin), jadi perkara itu menjadi pendirian kerajaan.

“Mana mungkin kerajaan boleh mengambil pendirian berbeza dengan keputusan mahkamah.

“Sebab itulah, kita lihat pembangkang terutamanya PAS dan juga beberapa pimpinan Bersatu menggunakannya sebagai satu serangan politik bertalu-talu kepada Perdana Menteri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top