aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu nombor dua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencemaskan Axiata Arena sebelum meloloskan diri ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menundukkan wakil Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith, hari ini.
Pemenang dua pingat gangsa temasya Olimpik itu diheret bermain tiga set sebelum menang 21-15, 16-21, 21-10 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung selama 58 minit.
Wooi Yik berkata, keadaan angin di dalam gelanggang menyebabkan mereka sukar untuk mengawal keadaan dan mengekang serangan pasangan AS yang dilihat menjadi punca kekalahan mereka di set kedua.
“Saya rasa kelajuan bulu tangkis kami tak meningkat bila kami kena lawan angin. Keadaan lagi sukar untuk menyerang.
“Setiap hari angin berbeza. Selalu di Terbuka Malaysia memang begitu.
“Tapi macam saya dan Aaron, kami kena buat tugas kami, buat apa yang kami perlu lakukan dan ikut perancangan yang sudah disusun,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan mereka di pusingan kedua, Aaron berkata, mereka perlu bersedia berdepan siapa saja.
“Tak kisah berdepan siapa saja, yang penting setiap perlawanan kena menang, itu paling penting.
“Dah menang, itu sudah OK. Kita hanya bersedia saja,” kata Aaron.
Pada peringkat 16 terbaik esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan Taiwan sama ada Liu Kuang Heng-Yang Po Han atau gandingan adik beradik, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Jika berjaya melepasi halangan pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik akan mengulangi pencapaian edisi tahun lalu layak ke suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




