Mendoza: Mahkamah di Argentina menggugurkan tuduhan rogol terhadap dua pemain ragbi antarabangsa Perancis, Hugo Auradou dan Oscar Jegou, selepas dituduh menyerang seorang wanita pada Julai lalu.
Auradou dan Jegou, kedua-duanya berusia 21 tahun, ditahan dua hari selepas membuat penampilan sulung untuk pasukan kebangsaan Perancis dalam perlawanan menentang Argentina di bandar Mendoza.
Wanita berusia 39 tahun itu, yang mereka temui di sebuah kelab malam, mendakwa dia diserang secara ganas di sebuah bilik hotel.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu menegaskan hubungan seksual yang berlaku adalah atas dasar suka sama suka ketika mereka keluar minum pada malam selepas perlawanan 6 Julai.
Seorang hakim di Mendoza menggugurkan kes itu atas nasihat pihak pendakwaan, yang meminta tuduhan ditarik balik kerana terdapat percanggahan dalam kenyataan wanita berkenaan.
“Seperti yang dijangkakan, pemain Perancis dibebaskan kerana hubungan itu berlaku secara suka sama suka, bermaksud tiada jenayah dan tidak ada keraguan bahawa mereka tidak bersalah,” kata peguam pembela, German Hnatow.
Persekutuan Ragbi Perancis menyatakan ‘kelegaan dan kepuasan’ dengan keputusan itu dan menambah bahawa keputusan ini membuka peluang untuk Auradou dan Jegou kembali dipilih dalam pasukan kebangsaan bergantung pada prestasi sukan mereka.
Peguam wanita berkenaan, Natacha Romano, berkata, beliau merancang untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Auradou dan Jegou tidak hadir di Argentina untuk mendengar keputusan berkenaan.
Mereka sebelum ini ditahan secara pencegahan selama lebih seminggu di Mendoza dan dikenakan tahanan di rumah hampir sebulan sebelum dibenarkan pulang ke Perancis pada September selepas pendakwa menyatakan kes terhadap mereka kelihatan lemah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
