Penyanyi popular, Aina Abdul menyangkal dakwaan dia tidak menghasilkan lagunya sendiri.
Menurut pemenang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 36 itu, tuduhan terbabit adalah fitnah kerana selama ini dia bersusah payah menimba ilmu di universiti.
Pemegang Sarjana Muda Muzik Kontemporari di Universiti UCSI itu menjelaskan perkara terbabit secara berseloroh di hadapan 1,500 peminat yang menghadiri lokasi terakhir konsert jelajah Aina Abdul Imaji Tour di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, pada Sabtu.

“Sampai hati cakap begitu. Pasang CCTV (kamera litar tertutup) di rumah saya ke? Tak baik yang fitnah tu. Penat saya belajar di sekolah dulu,” katanya.
Kata-kata Aina itu disambut oleh peminat yang memintanya untuk melakukan tindakan saman terhadap mereka yang menyebarkan fitnah.
Namun begitu, pelantun lagu Terus Hidup itu enggan melakukan perkara terbabit.
“Tak payah samanlah. Kita tak perlu layan. Bazir masa,” katanya.
Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu tiga tahun berturut-turut itu meluahkan rasa terharu apabila UUM menjadi destinasi terakhir konsert jelajahnya.

Aina mengumumkan dia bakal berehat daripada mengadakan konsert solo di bawah pengurusan Aina Abdul Entertainment.
“Saya sedih untuk memberitahu ini akan menjadi lokasi terakhir untuk konsert solo saya. Mungkin setahun, mungkin dua tahun. Saya sendiri belum pasti.
“Walaubagaimanapun saya terharu dengan sokongan anda semua, terutama yang sanggup datang ke ketiga-tiga lokasi Aina Abdul Imaji Tour.
“Saya tak mampu nak balas jasa anda semua. Terima kasih untuk sokongan ini,” katanya.

Pada konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu, Aina terkejut apabila dimaklumkan ada peminat yang sudah berada di perkarangan dewan seawal jam 11 pagi.
Lebih membuatkan dia berasa terharu apabila ramai yang menggayakan busana bertemakan denim dengan pelbagai gaya.
Pada konsert itu Aina berjaya menghiburkan peminat menerusi 20 buah lagu yang terdiri daripada lagu baharu dalam album Imaji dan hits.
Aina yang menggayakan dua persalinan dilihat cukup selesa dan penuh bersahaja ketika beraksi di atas pentas meskipun kebanyakan lagunya bernada tinggi.
Antara lagu yang disampaikan adalah Imaji, Kejam, Satu Rasa, Gentayangan, Jadi Ajar Aku, Bukan Untukku, Ini Bukan Cinta, Penat Jiwa, Kunci, Sumpah, Menua, Puas Sudah, Bilang, Sesal, Sedia Terluka, Kamu, Terus Hidup, Jangan Mati Rasa Itu dan Semalam.
Lebih istimewa, menerusi lagu Inggeris berjudul Lost, Aina membuat kejutan kepada peminatnya apabila menyanyikan lagu itu sambil bermain piano.




