PEMERGIAN Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada Isnin bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan negara, malah turut dirasai seluruh keluarga badminton Malaysia yang pernah menganggap Allahyarham sebagai ‘bonda’ kepada barisan pemain negara.
Kecintaan mendalam isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap sukan itu terserlah bukan sekadar sebagai bekas Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah beliau sendiri aktif bermain badminton secara kompetitif sehingga usia 75 tahun.
Dr Hasmah berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga 2007, termasuk menjadi saksi kejayaan bersejarah Malaysia menjulang Piala Thomas selepas menewaskan musuh tradisi Indonesia 3-2 pada edisi 1992 di Stadium Negara di sini.
Dalam majlis mengenang kejayaan itu pada 2019, Dr Hasmah tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau detik bersejarah berkenaan, termasuk peranannya memastikan barisan pemain negara ketika itu bersatu sebagai satu pasukan.
“Peranan saya sebagai penaung badminton pada masa itu adalah untuk menjadi ibu kepada mereka semua dan perkara utama saya inginkan ialah memastikan apabila saya berada di sana mereka bermain bersama sebagai satu pasukan.
“Ia adalah perkara paling sukar yang boleh dilakukan seorang ibu untuk menjadikan keluarga sebagai satu pasukan, terutamanya dalam sukan dan kita harus bangga dengan itu pada 1992… anak-anak muda bangkit dan saya tidak akan melupakan itu,” katanya pada majlis berkenaan.
Lebih menarik, Dr Hasmah pernah mendedahkan kisah di sebalik tabir menjelang aksi beregu lelaki Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang, yang ketika itu dikatakan sedang berdepan masalah antara satu sama lain.
Rentetan daripada itu, beliau berjumpa dengan beregu berkenaan dan berpesan kepada mereka berdua tiada pasangan lebih baik boleh digandingkan dengan Soon Kit selain bersama Beng Kiang.
Pesanan disampaikan Dr Hasmah itu ternyata memberi impak kepada mereka berdua sehingga berjaya meraih mata kemenangan buat skuad negara untuk menjulang Piala Thomas buat kali kelima selepas menumbangkan Ricky Subagja-Rexy Mainaky 15-2, 10-15, 15-8.
Pemain lain yang turut membarisi skuad gemilang Piala Thomas 1992 ialah pemain perseorangan lelaki, Datuk Rashid Sidek; Foo Kok Keong dan Kwan Yoke Meng serta pasangan beregu, Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek.
Selain badminton, Dr Hasmah juga adalah bekas penaung Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia selama lebih dua dekad sehingga 2018.
Dr Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – Bernama



