am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mencipta sejarah selepas dianugerahkan tiga rekod rasmi bagi mengiktiraf usia panjang dan pencapaian yang belum pernah berlaku bagi suami isteri.
Dr Mahathir, 101, diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua, manakala Dr Siti Hasmah, 100, dianugerahkan gelaran Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua.
Pasangan itu juga diiktiraf secara bersama oleh ASIA Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan Pertama dan Pasangan Yang Kedua-duanya Mencapai Usia Centenarian (Abad) Serta Masih Hidup.
Anugerah tersebut disampaikan pada satu majlis yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam, oleh Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, diiringi ketua juri Gillian Ooi dan Eldrick Koh.
Pengiktirafan ini diterima selepas sebulan penuh bermakna bagi pasangan berkenaan, di mana Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai lalu, diikuti ulang tahun kelahiran ke-100 Dr Siti Hasmah pada 12 Julai.
Pasangan itu juga baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 pada 5 Ogos lalu.
Pasukan pengadil turut memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati tiada pencapaian seumpama itu direkodkan secara terbuka di rantau ASEAN serta pasaran utama Asia.
Tiga pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan usia panjang Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin negara dan pencapaian bersejarah Dr Siti Hasmah sebagai isterinya yang mencecah usia seabad, malah mengiktiraf keunikan mereka sebagai bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya hidup mencecah usia 100 tahun.
Pengiktirafan terbaru ini menambah satu lagi lembaran bersejarah dalam perjalanan hidup pasangan itu yang telah merentasi pelbagai dekad sejarah moden Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd

