Tun Faisal persoal pelantikan semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, dakwa Abdul Hadi guna kuasa 'veto', sistem Mullah

Tun Faisal persoal pelantikan semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, dakwa Abdul Hadi guna kuasa 'veto', sistem Mullah

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menuduh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggunakan kuasa ‘veto’ terhadap jawatan Ketua Pembangkang selepas mengumumkan

pelantikan semula Datuk Seri Hamzah Zainudin ke posisi berkenaan.

Tun Faisal menyifatkan tindakan itu sama seperti sistem Mullah iaitu seseorang yang berada di luar kepimpinan rasmi boleh membatalkan keputusan yang sudah dipersetujui dalam organisasi.

“Jadi memang sudah dijangka Presiden PAS akan buat U-Turn dan akan (menggunakan kuasa) ‘veto’ keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun sudah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, yang Pengerusinya adalah dari PAS, begitu juga Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Pemuda.

“Tetapi Presiden PAS yang bukan anggota MT PN boleh mem’veto’ keputusan itu seolah-olah PN sekarang sedang menggunakan sistem Mullah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi ketika Konvensyen RESET Malaysia yang diadakan di Kelantan hari ini mengumumkan Hamzah kembali menjadi Ketua Pembangkang.

Beliau berkata, PAS dan Gerakan RESET bersetuju mengekalkan Hamzah dan keputusan itu dibuat secara musyawarah dalam PAS dan Ahli Parlimen.

Tambahnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dikekalkan sebagai Pengerusi PN.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Samsuri menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang bermula 17 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat MT PN Kali Ke-2 dan pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu bagi mengisi kekosongan selepas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat dalam BERSATU.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut berkongsi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang pernah mengingatkan berkenaan sikap PAS yang disifatkan `talam dua muka, siang cakap lain, malam berubah cakap lain’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top