am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi secara sinis menyambut ‘jemputan’ Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk bersama-sama menaiki KTM Komuter, namun sehingga kini beliau menegaskan masih belum menerima surat jemputan rasmi.
Dalam nada menyindir, Onn Hafiz berkata, beliau terharu apabila akhirnya kerajaan negeri mendapat jemputan untuk melihat pelaksanaan projek itu selepas beberapa lawatan kementerian sebelum ini tidak membabitkan beliau atau EXCO berkaitan.
Katanya, walaupun program dijadual berlangsung Selasa ini, pejabatnya masih belum menerima sebarang surat rasmi atau butiran program daripada Kementerian Pengangkutan.
“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut. Saya tetap terharu dengan ‘keikhlasan’ jemputan ini, sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri Johor akhirnya ‘dijemput’,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Onn Hafiz turut membangkitkan beberapa lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke Johor sebelum ini yang tidak membabitkan kepimpinan kerajaan negeri, termasuk lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), projek Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), ETS Segamat dan RTS Link.
“Pada lawatan terbaharu, beberapa pemimpin DAP Johor dilihat hadir dalam program itu dan apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya membabitkan pihak vendor atau pembekal.
“Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini vendor atau pembekal?” soalnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri sebaliknya tidak keberatan turut membantu menjayakan pelaksanaan KTM Komuter itu sebelum ini dengan menyediakan peruntukan RM700,000 bagi kerja mencantikkan tren serta perkhidmatan bas pengantara bernilai kira-kira RM86,000, selain menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.
“Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan,” katanya yang turut memaklumkan projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP, sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak demi manfaat rakyat.
Semalam, Loke dilaporkan secara terbuka mengajak Onn Hafiz menaiki KTM Komuter bersama pada Selasa ini ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.
Beliau sebelum itu turut menyindir kenyataan Onn Hafiz yang dilaporkan lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar berbanding ‘duduk semeja’ dengan DAP, sambil menegaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan DAP di peringkat Kerajaan Persekutuan sudah menjadi realiti politik semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




