Tutup jalan, PPM rampas 2 juta batang rokok seludup

Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor terpaksa menutup jalan menggunakan empat kenderaan bagi mematahkan cubaan menyeludup dua juta batang rokok putih bernilai RM1.5 juta termasuk cukai pagi ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi, tindakan pihak PPM itu berjaya mengepung sebuah lori tiga tan membawa muatan rokok yang cuba melalui Jalan Parit Tali Air dari Kampung Cempaka menghala ke Kampung Cherang di Kota Bharu.

Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pemandu dan kelindan lori tersebut berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguatkuasa itu. Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori membawa kepada penemuan 10,000 karton rokok putih. “Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori seberat tiga tan yang bernilai RM1.58 juta.

“Siasatan awal mendapati, kesemua rokok seludup dari Thailand itu dipercayai untuk pasaran Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada pemberita di Markas PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Norzaid memberitahu, bertindak atas maklumat penyeludupan sepasukan pegawai dan anggota telah menjalankan risikan dan intipan di kawasan berkenaan. Katanya, hasil intipan itu PPM telah berjaya mengesan sebuah lori yang memasuki lorong di laluan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Kita telah berjaya memaksa lori itu berhenti dengan menutup kedua-dua arah lorong jalan menggunakan empat buah kereta,” ujarnya. Norzaid berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. -UTUSAN

Malay News
National Desk