hifzuddin@bh.com
Alor Setar: Pengkaji sejarah berjaya menemui 30 meriam milik Kesultanan Kedah yang dirampas ketika era Perang Musuh Bisik, tersimpan di Wilayan Trang, selatan Thailand sejak lebih 200 tahun lalu.
Naib Pengerusi Persatuan Pembudayaan Sejarah Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mohd Herman Roslan berkata, meriam yang kebanyakannya bersaiz 5.44kg (12 paun) itu ditemui disimpan sekitar wat (kuil) dan pejabat kerajaan di sekitar Trang.
Katanya, meriam yang asalnya ditempatkan di Kota Kuala Kedah itu diyakini dirampas tentera Ligor dari Kota Kuala Kedah ketika berlakunya perang antara 1821 hingga 1842 sebelum dibawa ke selatan Thailand.
“Sejumlah 30 meriam milik Kedah ini tidak pernah dikesan kerana dalam pengetahuan kita, kebanyakan meriam rampasan Perang Musuh Bisik dibawa ke Ligor (kini dikenali sebagai Nakhon Si Tammarat).
“Berdasarkan catatan, dianggarkan terdapat 123 meriam yang mengawal pertahanan Kota Kuala Kedah ketika berlaku serangan Siam dan hanya tinggal dua meriam masih kekal di kota berkenaan sehingga kini
“Kebanyakan meriam ini berkemungkinan besar diperoleh pada era pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) dan Sultan Abdullah (1778-1797) bagi kegunaan pertahanan negeri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Difahamkan, setakat ini hanya 22 meriam lama Kedah berjaya dikesan selepas senjata berat itu dipamerkan di Muzium Nakhon Si Tammarat dan dalam simpanan wat di wilayah itu.
Mengulas lanjut, Herman berkata, pihaknya percaya terdapat antara 50 hingga 60 meriam lama milik Kesultanan Kedah masih berada di selatan Thailand dan belum ditemui ahli sejarah.
Katanya, kewujudan senjata berat ini membuktikan bahawa Kesultanan Kedah memiliki kekuatan dan jumlah tentera yang besar serta berkemahiran bagi mengendalikan setiap meriam berkenaan.
“Kebanyakan meriam milik Kedah ini dibekalkan pihak Inggeris dan dibeli dari sekitar alam Melayu lain bagi kegunaan pertahanan Kota Kuala Kedah yang menjadi pusat pentadbiran serta perdagangan.
“Sekiranya dilihat pelan asal Kota Kuala Kedah yang dilakar pada 1835, kita akan mendapati kedudukan meriam diletak secara strategik keliling kota bagi berhadapan serangan dari laut dan darat.
“Ini sekali gus menunjukkan Kedah ketika itu sudah memiliki ilmu dan strategi peperangan serta mempunyai struktur ketenteraan yang lengkap bagi berhadapan musuh,” katanya.
Berikutan itu, beliau berharap pihak kerajaan dapat tampil membantu pihaknya agar kajian lebih lanjut dan usaha menjejak baki meriam lama milik Kesultanan Kedah di selatan Thailand dapat dilakukan.
Untuk rekod, Kota Kuala Kedah tumbang kepada tentera Siam yang menggunakan muslihat masuk ke dalam kota bagi mendapatkan bantuan beras dan perubatan berikutan negara itu sedang berhadapan peperangan melawan Burma ketika itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


