georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sejak dilancarkan pada 2020, TV Sarawak (TVS) kini memacu untuk mengukuhkan jenamanya sebagai stesen nasional dan dalam rangka luaskan jaringan ke luar negara termasuk Indonesia dan Jepun.
Ketua Kandungan Kreatif Sarawak Media Group Sdn Bhd, Jamal Abdullah berkata perubahan domestik akan berlaku dalam TVS dan liputannya akan lebih merangkumi kandungan nasional.
“Kami mahu keluar daripada penjenamaan menumpukan kepada Sarawak saja. Dari segi bahasa pun, kami pastikan ia boleh difahami semua rakyat Malaysia, bukan bahasa-bahasa loghat.
“Kalau ada loghat pun, kami mesti ada terjemahan bahasa Melayu. Usaha itu kami sedang perbaiki untuk menakluk penonton seluruh negara,” katanya pada sidang media TVS Spotlight 25/26, di sini, hari ini.
Menurutnya, di samping mengekalkan keaslian identiti dari Borneo, inisiatif gabungkan variasi program dari Semenanjung dan Sabah pun menjadi keutamaan penting buat TVS.
“Program-program macam inilah kita mahu supaya kita boleh setarakan pengalaman penonton di rumah. Macam konsep 1Malaysia, misi itulah yang kami nekad untuk capai,” katanya.
Jamal berkongsi pihak TVS juga sudah ke luar negara untuk mengikat jaringan bagi tujuan mengeksport program ataupun projek usaha sama yang mampu terbangkan jauh jenamanya.
“Kami sudah mulakannya namun buat masa sekarang lebih kepada pertukaran program saja dulu. Sambutannya agak memberangsangkan terutama untuk program berbentuk dokumentari dan majalah.
“Seperti program berbentuk etnik dan pengembaraan juga, kandungan sedemikianlah yang diminta mereka. Misalnya Channel News Asia (CNA) stesen di Jepun dan Jakarta,” katanya.
TVS Spotlight 25/26 membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi.
Tahun 2026 dijangka menjadi fasa penting apabila TVS memperkenalkan Gerak Khas 2.0, di samping pelbagai drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari dan liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao.
Acara terbabit turut dihadiri Pengerusi & Presiden TVS/Sarawak Media Group (SMG), Datuk Norhyati Ismail; penerbit dan pengarah legenda, Datuk Yusof Haslam, klien, serta barisan kakitangan TVS.
© New Straits Times Press (M) Bhd
