SHAH ALAM – UMNO mengkritik tindakan Majlis Sekretariat Pakatan Harapan (PH) kerana mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dan didakwa mempersoalkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA)
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan YDPA adalah Hal yang termaktub jelas di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, PH menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut mendakwa UMNO tidak seperti PH kerana parti itu tidak berniat untuk mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau mendesak supaya sebarang keputusan tertentu dibuat.
“Sebarang keputusan dibuat melalui proses yang sah di sisi undang-undang perlu dihormati oleh semua pihak,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan terbaharu PH itu secara tidak langsung telah mendedahkan ‘wajah sebenar’ gabungan berkenaan yang didakwa beberapa kali memperlekeh dan mempersoalkan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.
“Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat dipersetujui bersama dalam perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata, UMNO kekal teguh dalam mempertahankan institusi YDPA serta menjunjung kuasa yang dimiliki oleh Seri Paduka Baginda.
“Sebarang cubaan untuk memberi tekanan terhadap institusi ini atau secara langsung mahupun tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terhadapnya merupakan satu pengkhianatan terhadap Perlembagaan dan negara,” ujar beliau.
