UMS memperuntukkan RM1.25 juta pelan data dan peranti untuk pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan kira-kira RM1.25 juta bantuan pelan data dan peranti bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, peruntukkan tersebut melibatkan RM255,420.00 Bantuan Pelan Data yang bakal memanfaatkan 1,928 pelajar dan juga memperuntukkan RM1 juta bantuan untuk komputer riba kepada 714 pelajar B40 yang layak.

619 pelajar dari Sabah, 37 pelajar Sarawak, dan 58 pelajar dari Semenanjung Malaysia yang layak akan menerima bantuan komputer riba dimana rekod peruntukan itu diperoleh daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.

“Bagi bantuan pelan data, pelajar telah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu yang merupakan antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal sebagai komitmen pihak UMS dalam menitikberatkan soal kebajikan pelajar,” menurutnya.

Katanya lagi, ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian penyerahan pelan data dan komputer riba bagi tahun 2020 yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS merangkap pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Hajah Nurlaila Said.

Taufiq menerangkan, bagi komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba berjumlah RM1,400 yang akan diserahkan terus kepada pelajar selepas pelajar melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.

Tambahnya lagi, selain itu UMS turut telah membelanjakan RM20,000 bagi bantuan Food Bank kepada pelajar.

Terangnya, inisiatif ini turut mendapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik UMS.

Faedah lain yang diterima berupa pengecualian yuran kolej kediaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,991,592 melibatkan 8,792 pelajar.

Selain itu melalui inisiatif UMS Prihatin, pelajar menerima RM51 pemulangan yuran pengajian bagi Semester 1, sesi Akademik 2020/2021.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan serba sedikit dapat meringankan beban yang benar-benar memerlukan,” ujarnya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette
Malay News
Farah Fauzi