Undang-undang AI: Laporan penuh dijangka siap hujung Jun

Undang-undang AI: Laporan penuh dijangka siap hujung Jun

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dasar berkaitan pendigitalan data akan diperincikan selewat-lewatnya bulan depan dalam menyokong penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata dasar terbabit menekankan kepentingan pelaksanaan pendigitalan data dalam penyampaian perkhidmatan merangkumi aspek tadbir urus kualiti data, etika keselamatan data dan pembudayaan digital dalam urusan pentadbiran.

“Ini penting kerana untuk kita berjaya dalam bidang AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya, data yang kita ada kena dipastikan ia adalah data digital kerana daripada dahulu, kita ada banyak data yang masih berbentuk analog, dalam bentuk gambar, audio atau campuran.

“Jadi saya sudah memberikan tempoh tiga bulan kepada Jabatan Digital Negara (JDN) (untuk memperincikan dasar terbabit) dan saya harap kalau bukan dalam bulan ini, dalam bulan Julai, kemudian saya akan bentangkan cadangan berkenaan kepada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Perkongsian Data Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Gobind berkata, dasar terbabit bukan sahaja untuk dilaksanakan peringkat pusat, malah di peringkat negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ia bagi menjamin kualiti perkongsian data ke arah penggubalan dasar yang tepat oleh kerajaan selain memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

“Soalnya bagaimana kita dapat mendigitalkan data berkenaan data supaya kita dapat menggunakan data itu, menggunakan teknologi khususnya AI dan kita dapat melihat manfaat daripada teknologi dengan menggunakan data terbabit.

“Itu tidak akan berlaku kalau kita tidak melihat secara khusus kepada dasar digitalisasi,” katanya.

Sementara itu, Gobind berharap semua kerajaan negeri dapat menggubal undang-undang berkaitan perkongsian data bagi menyokong penguatkuasaan Akta 864.

“Setakat ini, dalam pertemuan saya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) dan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari, sedia untuk menggubal undang-undang terbabit manakala Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) memberi maklum balas yang positif.

“Selepas ini, saya akan ke setiap negeri untuk berbincang dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar dan kita lihat apakah hasilnya nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top