Undang-undang dana politik tingkat ketelusan, integriti politik negara – Pakar

Undang-undang dana politik tingkat ketelusan, integriti politik negara – Pakar

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang berkaitan pendanaan politik sebagai usaha memastikan ketelusan dan integriti dalam sistem politik negara.

Memberikan pandangan itu, Pakar Perlembagaan Prof Datuk Shamrahayu Abd Aziz berkata, isu pendanaan politik sudah dibincangkan sekian lama, tetapi belum menjadi realiti.

Beliau berkata, hakikatnya isu pendanaan politik adalah sensitif bagi parti politik terutama berkaitan ketelusan dan keperluan menjadikan pendanaan sebagai maklumat awam.

“Setakat ini, undang-undang seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram sudah ada, namun undang-undang khusus untuk pendanaan politik masih belum wujud.

“Memang perlu ada undang-undang khusus yang bukan sahaja berkaitan pendanaan politik, tetapi juga membabitkan pendaftaran parti politik,” katanya.

Beliau turut mencadangkan undang-undang pendaftaran parti politik diperkasa untuk membezakan antara pertubuhan politik dan pertubuhan lain.

“Ini kerana sesebuah parti politik, ahlinya boleh menjadi penggubal polisi, pentadbiran dan pentadbiran negara. Jadi kita perlukan undang-undang khusus untuk mengawal setiap parti politik ini.

“Itulah kepentingan yang saling hubung kait iaitu berkaitan pendanaan politik dan pemerkasaan undang-undang pendaftaran parti politik, adalah untuk meningkatkan integriti politik di negara ini,” katanya.

Menyentuh mekanisme pendanaan politik, Shamrahayu berkata, perkara seperti siapa yang mempunyai akses kepada akaun parti perlu diperincikan dalam undang-undang berkenaan.

“Jika parti politik bersedia menjadikan akaun mereka tontonan awam, ia perlu dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan parti atau undang-undang itu sendiri,” katanya.

Katanya, ketegasan penguatkuasaan perlu untuk memastikan undang-undang berkenaan supaya boleh meningkatkan integriti politik dan mengukuhkan ketelusan demokrasi di negara ini.

“Saya rasa optimis bahawa pelaksanaan undang-undang berkenaan sekiranya mendapat sokongan semua pihak, akan membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan tadbir urus negara,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, undang undang khusus berkaitan pendanaan politik perlu dibangunkan bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam sistem politik negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top