firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ruben Amorim tegaskan Manchester United bakal melakukan transisi secara besar-besaran dengan tumpuan utama mengukuhkan akademi kelab itu yang disifatkan memiliki ramai pemain berpotensi yang boleh diketengahkan musim depan.
Amorim yang kini berada di Malaysia bagi menghadapi siri jelajah pramusim menentang pasukan Asean All-Star di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok akui bakal membawa masuk beberapa muka baharu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Namun katanya, beliau perlu berbelanja dengan berhemah di mana kawalan kewangan pasukan menunjukkan United memiliki sumber agak terhad untuk memborong pemain bertaraf bintang.
Begitupun ujarnya, akademi United turut mempunyai pemain terbaik yang boleh diberikan peluang beraksi di tahap tertinggi.
“Saya fikir kami sentiasa menyediakan dua rancangan. Satu dengan Liga Juara-Juara dan satu tanpa Liga Juara-Juara.
“Tanpa Liga Juara-Juara, kami tidak memerlukan skuad besar. Kami boleh mengawal skuad dengan cara yang lebih baik. Kemudian kami mempunyai rancangan untuk membawa beberapa pemain baru, sudah tentu.
“Tetapi rancangan besar kami adalah untuk meningkatkan pasukan yang kami ada. Ia adalah untuk meningkatkan akademi kami, kerana saya fikir itu adalah masa depan.
“Kami mempunyai peraturan kewangan yang ketat di mana kami tidak dibenarkan berbelanja banyak pada musim panas ini, walaupun mungkin beraksi di Liga Juara-Juara,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amorim akui tidak mengambil mudah setiap perlawanan yang dihadapi termasuk aksi Piala Cabaran Maybank menentang Asean All-Stars.
“Setiap perlawanan yang kami hadapi, kami memikul tanggungjawab besar kerana seluruh dunia, termasuk peminat kami sedang menyaksikannya.
“Jadi ia amat penting. Kami mahu menghargai segala perhatian yang diberikan oleh semua pihak. Kami mahu memberikan persembahan yang baik. Masih banyak yang perlu dilakukan.
“Seperti yang anda lihat musim ini, kami perlu memperbaiki pasukan. Jika ada mana-mana perlawanan yang perlu dimainkan, kami akan menggunakannya sebagai peluang untuk meningkatkan prestasi pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
