bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membantu usahawan menyesuaikan diri serta meneruskan perniagaan dalam norma baharu dengan peningkatan hasil jualan sebanyak RM9.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, berkata kejayaan dicapai menerusi dua program bimbingan iaitu Insken Bumiputera Business Coaching (BBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).
Selain itu katanya, menerusi program bimbingan komprehensif anjuran agensi yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu juga berjaya mewujudkan 256 pekerjaan baharu.
“Seramai 295 peserta Program IBBC yang terdiri daripada usahawan daripada industri penjagaan selepas bersalin, kafe dan restoran, bakeri, jualan pasar raya, jahitan dan eko-pelancongan tamat bimbingan secara one-on-one selama empat bulan
“Semua peserta program dibimbing pakar industri sekali gus mencatat peningkatan jualan yang cukup memberangsangkan.
“Lebih membanggakan seramai 170 peserta daripada dua kohort Program E-Board dibimbing membuat pemasaran digital selama empat bulan berjaya mencatat peningkatan hasil jualan melebihi RM560,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduan Program Bimbingan INSKEN 2020/ 2021, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Muhd Firdaus berkata, usahawan yang menyertai program itu berjaya membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.
Justeru katanya, INSKEN akan terus memberikan bimbingan kepada usahawan menerusidua program itu yang masih lagi diteruskan sepanjang tahun ini.
Sementara itu, usahawan perkhidmatan makanan dan minuman kesihatan dari Pahang, Azanil Putra Rapaai, berjaya mencatat peningkatan hasil jualan tertinggi iaitu sebanyak 233.03 peratus.
Peserta Program E-Board itu berkata, hasil jualannya mula meningkat selepas memasarkan perniagaannya di platform Shopee sekali gus memerlukan dia sentiasa menambah stok produk akibat permintaan yang semakin tinggi.
“Program anjuran INSKEN ternyata membantu saya untuk meningkat perniagaan saya sehingga berlipat kali ganda keuntungannya,” katanya.
Peserta Program IBBC, Nor Paizah Rohaizard, berkata dia yang menjalankan perniagaan penjagaan selepas bersalin berjaya mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 251 peratus.
Katanya, kejayaan itu dicapai selepas dia membuat penjenamaan semula syarikat dan memperbaharui pakej serta produk yang bersesuaian dengan permintaan pelanggan.
Terdahulu, Noh dalam ucapannya berharap lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dan pelbagai peruntukan diberikan oleh kerajaan dan agensi yang dilantik untuk memberi bimbingan terutama usahawan dilatih INSKEN.
Katanya, graduan yang lulus menerusi program INSKEN secara automatik diberikan kelulusan permohonan pinjaman dan mendapat pengesahan daripada Insken serta diluluskan secara serta merta.
“INSKEN sentiasa konsisten menghulurkan bantuan berbentuk latihan serta bimbingan bagi memastikan usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik selain kini dapat menyaksikan usahawan mula menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya.
Secara keseluruhan, INSKEN melaksanakan 31 Program BBC dan 10 kohort Program E-Board sepanjang 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd
