Vaksin: Khabar 'gembira' buat petugas media

Vaksin: Khabar 'gembira' buat petugas media

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali permintaan dan desakan dibuat, penantian lebih 6,000 pengamal media yang berharap mendapat suntikan vaksin COVID-19 bersama kumpulan penerima awal, semakin menjadi kenyataan.

Pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, semalam adalah khabar gembira yang secara tidak langsung mengiktiraf peranan media yang juga petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak itu.

Tokoh Wartawan Negara 2019, Tan Sri Johan Jaaffar antara yang lantang memperjuangkan usaha itu, termasuk usaha terbarunya dengan menulis surat terbuka kepada Khairy yang diterbitkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertajuk ‘An Open Letter to YB Khairy Jamaluddin, ‘Reporters Are (Still) Not Frontliners?’.

Ini kerana, seperti mana peranan petugas barisan hadapan lain yang sehingga kini masih bersama berjuang mengekang penularan COVID-19, begitu jugalah peranan penting yang dimainkan media terutama sejak lebih setahun wabak berkenaan bertapak di negara ini.

Mungkin sudah ‘terbuka hati’, akhirnya surat yang diutuskan oleh Johan selain desakan demi desakan pengamal media lain menjurus kerajaan untuk membuat keputusan gembira itu pada hari sama surat berkenaan diterbitkan.

Bagi Johan, pastinya ini bukan usaha beliau seorang tetapi keseluruhan warga media yang berharap kerajaan ‘sedar’ akan kepentingan mereka yang tidak jemu ‘berkempen’ mengenai COVID-19 bagi menyuntik kesedaran masyarakat untuk bersama-sama menentang virus terbabit.

“Alhamdulillah. Ini yang kita mahukan, wartawan dianggap sebagai ‘frontliners’ (barisan hadapan). Kegembiraan ini bukan saja buat saya, tetapi juga kepada semua teman pengamal media lain. Saya mengalu-alukan tindakan segera daripada Yang Berhormat Khairy untuk berikan lebih 5,000 dos vaksin kepada petugas media.

“Ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan petugas media mendapat perlindungan memandangkan mereka terdedah kepada ancaman COVID-19 seperti mana petugas barisan hadapan lain,” katanya kepada Bernama.

Khairy pada sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan seramai 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.

Keputusan itu menurut Khairy, selaras dengan usaha kerajaan untuk mengutamakan petugas barisan hadapan, termasuk guru serta pengamal media.

Hakikatnya, setiap hari kumpulan itu merisikokan diri dengan turun ke lapangan untuk membuat liputan, termasuk ke kawasan yang berisiko tinggi berlakunya penularan wabak seperti hospital, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pusat kuarantin dan sebagainya untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat yang sahih dan jelas kepada masyarakat.

Malah, sebelum ini juga sudah dilaporkan beberapa petugas media dikesan positif COVID-19 selepas membuat liputan berita, termasuk seorang petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

Kerana itulah, amat penting kumpulan ini diberikan vaksin segera seperti mana yang dilakukan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mengiktiraf petugas media di negara itu sebagai ‘frontliners’ dan memperuntukkan 5,000 dos suntikan buat kumpulan terbabit yang diumumkan semasa Puncak Peringatan Hari Pers Nasional 2021, Februari lalu.

“Walaupun vaksin tidak akan melindungi seseorang itu 100 peratus kerana masih boleh dijangkiti wabak berkenaan, tetapi mengalami tahap penyakit yang teruk dapat dikurangkan.

“Ini (suntikan vaksin) juga akan memberi keyakinan kepada petugas media untuk membuat liputan tanpa rasa takut dan was-was apabila perlu membuat liputan di tempat yang berisiko tinggi jangkitan wabak,” kata Johan.

Pastinya apa yang diharapkan media, pengumuman itu tidak hanya omongan kosong tetapi dilaksanakan segera terutama dalam situasi semasa kes COVID-19 yang terus meningkat dan kadar kematian tinggi khususnya dengan kewujudan varian baharu yang menjadikan virus ini lebih ganas menyerang tubuh manusia. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top