VFive Group perkukuh pembangunan bakat teknikal negara melalui HPTN 2026

VFive Group perkukuh pembangunan bakat teknikal negara melalui HPTN 2026

LANGKAH proaktif Kementerian Kerja Raya meneruskan penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 bakal memacu jaringan strategik merentas sektor dengan memfokuskan inovasi teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif berimpak tinggi ini akan memberi lonjakan positif kepada ekosistem pemain industri, khususnya dalam memperkasa syarikat Bumiputera.

Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah menegaskan, pasaran hari ini bukan lagi sekadar menuntut tenaga teknikal yang kompeten sebaliknya, ia memerlukan bakat yang mampu beradaptasi dengan pantas terhadap anjakan teknologi, automasi, dan evolusi sistem digital serta AI.

Beliau menyifatkan HPTN 2026 sebagai sebuah platform sinergi yang kritikal bagi mempertemukan penggerak utama industri, institusi pendidikan, badan profesional, serta generasi pelapis bakat masa hadapan di bawah satu bumbung.

“Menyedari hakikat ini, VFive Group Sdn Bhd mengambil langkah ke hadapan dengan tampil sebagai Rakan Strategik Nasional Eksklusif HPTN edisi kali ini.

“Penglibatan strategik ini menterjemahkan komitmen teguh kami dalam memacu pembangunan bakat teknikal, merancakkan adaptasi teknologi, dan melonjakkan daya saing industri negara secara holistik.

“Kami menyokong penuh visi yang dibawa oleh Kementerian Kerja Raya kerana inisiatif seumpama ini membuka jalan luas bagi syarikat Bumiputera seperti kami untuk mengukuhkan kapasiti, melangkah lebih jauh, dan bersaing sebagai pemain industri bertaraf antarabangsa,” katanya.

VFive Group perkukuh pembangunan bakat teknikal negara melalui HPTN 2026

Mohd Syafiq

Penglibatan VFive Group sebagai rakan strategik turut diiktiraf menerusi penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua Pegawai Perniagaan VFive Group, Noorazly Ja’alam, pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di Kuching, Sarawak semalam.

Bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian”, HPTN 2026 dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Disember 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.

Mohd Syafiq berkata, sektor yang diceburi VFive Group termasuk pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi maklumat dan tenaga boleh diperbaharui semakin dipacu oleh penggunaan teknologi seperti AI, Internet of Things (IoT), Building Information Modelling (BIM), Digital Twin dan automasi.

Tambahnya, penerapan teknologi perlu bergerak seiring dengan pembangunan tenaga kerja supaya produktiviti, kecekapan dan kualiti pelaksanaan projek dapat terus dipertingkatkan.

“Justeru, dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan, kami akan memastikan VFive Group terus melangkah ke hadapan seiring dengan perkembangan teknologi yang sangat pantas,” katanya.

VFive Group merupakan kumpulan syarikat milikan penuh Bumiputera yang beroperasi sejak 2012 dengan kepakaran dalam pembinaan, pengurusan fasiliti, pembangunan hartanah, teknologi maklumat, konsesi, pembekalan am dan tenaga boleh diperbaharui.

 

 

Scroll to Top