[VIDEO] 75 bubu naga dirampas di Pulau Pinang  – Utusan Digital

[VIDEO] 75 bubu naga dirampas di Pulau Pinang  – Utusan Digital

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri merampas 75 set bubu naga di tujuh lokasi berasingan di sekitar 3.7 hingga 4.7 Batu nautika Barat laut Sungai Kerian, dekat sini semalam. 

Rampasan dilakukan semasa pasukan operasi menjalankan rondaan Op Pertiwi di perairan negeri ini kira-kira pukul 3.40 hingga 6 petang. 

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil aduan awam serta pemantauan khusus di lokasi terlibat. 

Menurutnya, hasil pemerhatian telah menemukan 75 set bubu naga yang dipasang di perairan di situ dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM9,000. 

“Kesemua hasil rampasan itu kemudiannya dibawa ke  Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. 

VIDEO Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas 75 set bubu naga di tujuh lokasi berasingan di sekitar 3.7 hingga 4.7 Batu nautika Barat laut Sungai Kerian semalam. Video oleh Maritim Malaysia.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan denda yang dikenakan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

“Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari masa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,” ujarnya. 

Tambah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang (04-2626146). – UTUSAN ONLINE 

 

 

Scroll to Top