Villa hampiri separuh akhir Liga Europa

Villa hampiri separuh akhir Liga Europa

Bologna: Aston Villa sudah sebelah kaki untuk ke separuh akhir Liga Europa selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Bologna, awal pagi tadi, yang mungkin menyaksikan keputusan berbeza jika bukan kerana ketajaman penyudah Ollie Watkins.

Tandukan Ezri Konsa pada penghujung separuh masa pertama serta dua gol Watkins, yang sedang memburu tempat dalam skuad Piala Dunia England, memastikan Villa terus berada di landasan memburu trofi utama pertama sejak menjulang Piala Liga 30 tahun lalu.

Villa bakal berdepan sama ada Porto atau pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest di peringkat empat terbaik sekiranya mereka berjaya menyingkirkan Bologna, yang masih mempunyai peluang tipis dalam aksi timbal balik minggu depan di Birmingham.

Gol tunggal Bologna disumbangkan oleh Jonathan Rowe pada lewat perlawanan.

Bologna mencatat tujuh kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua kejohanan, namun Unai Emery yang pernah menjuarai Liga Europa sebanyak empat kali menyaksikan pasukannya kini menjadi pilihan utama untuk mara selepas gol kedua Watkins sebelum wisel penamat.

“Menjaringkan gol sebelum separuh masa adalah waktu yang sangat baik. Kami tambah gol kedua selepas rehat dan kami rasa kami akan terus menjaringkan lebih banyak gol.

“Di penghujung musim ini, saya benar-benar bersedia. Saya boleh bermain lagi 90 minit. Saya teruja untuk beberapa perlawanan akan datang. Saya dahagakan kejayaan,” kata Watkins kepada TNT Sports.

Villa menewaskan Bologna tiga kali dalam dua musim terakhir, termasuk dua kali dalam edisi Liga Europa kali ini.

Kelab England itu cukup klinikal menundukkan Bologna yang berhak mendapat keputusan lebih baik tetapi menghadiahkan ketiga-tiga gol kepada lawan.

“Jika kami mahu meningkat ke tahap lebih tinggi, kami tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini… Apa-apa boleh berlaku (dalam aksi kedua), tetapi perlawanan malam ini harus menjadi pengajaran,” kata Federico Bernardeschi kepada Sky.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top