Vingegaard sah sertai TdF, berpeluang pertahan kejuaraan

Vingegaard sah sertai TdF, berpeluang pertahan kejuaraan

Den Bosch: Juara dua kali Tour de France (TdF), Jonas Vingegaard pulih daripada kecederaan paru-paru dan tulang selangka seterusnya bakal bersaing dalam perlumbaan berkenaan yang bermula akhir bulan ini, kata pasukannya Visma-Lease a Bike.

Pelumba Denmark itu, pemenang dua edisi terakhir TdF, tidak berlumba sejak terbabit dalam kemalangan berkelajuan tinggi di Tour de Basque pada April lalu di mana dia patah tulang selangka dan beberapa tulang rusuk.

Pengurus pasukan Richard Plugge berkata, beberapa bulan lalu pelumba berusia 27 tahun itu tidak akan bertanding dalam TdF sehingga dia cergas 100% tetapi Vingegaard mencatatkan kemajuan yang stabil sepanjang bulan lalu.

“Saya teruja untuk memulakan perlumbaan. Beberapa bulan kebelakangan ini tidak selalunya mudah, tetapi saya berterima kasih kepada keluarga saya dan pasukan Visma-Lease a Bike atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,” kata Vingegaard, yang memenangi perlumbaan pada 2022 dan 2023.

“Kami bekerjasama untuk mencapai masa ini, dan sudah tentu, saya sangat teruja untuk melihat di mana saya berdiri sekarang. Saya berasa baik dan sangat bermotivasi.”

Vingegaard terhempas pada kelajuan tinggi semasa menuruni bukit yang menyebabkan perlumbaan dimulakan semula selepas kemalangan beramai-ramai menyaksikan beberapa pelumba turut terjatuh.

Vingegaard kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan dengan pengusung dan memakai pendakap leher.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top