MANILA – Seorang vlogger Filipina maut ditembak manakala pasangannya cedera selepas dua lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah mereka dalam kejadian di Caloocan City pada awal pagi Jumaat.
Polis mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Alicia Lipata, 24, atau Mima Alicia.
Pasangannya yang hanya dikenali sebagai ‘Nelboy’, 25, dikejarkan ke Hospital Camarin Doctors selepas mengalami kecederaan akibat tembakan tersebut.
Menurut Polis Daerah Utara (NPD) Manila, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi di rumah sewa mangsa di Tierra Nova Subdivision, Barangay 171.
Siasatan awal mendapati dua suspek memasuki rumah tersebut, melepaskan tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Mima dan pasangannya dilaporkan sempat melarikan diri ke luar rumah selepas diserang.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya ditemukan meninggal dunia di atas jalan, manakala pasangan dibawa ke hospital oleh tuan rumah mereka.
NPD bersama Ibu Pejabat Polis Caloocan City telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas bernama ‘MIMA’ bagi menyiasat kes berkenaan.
Pengarah NPD, Brigedier Jeneral Benliner Capili mengarahkan pasukan khas itu menggunakan segala sumber siasatan dan risikan yang ada untuk mengenal pasti serta menahan suspek, selain menentukan motif serangan.
Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian dan merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan, sambil memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat dirahsiakan sepenuhnya.
Mima Alicia dikenali kerana menghasilkan ulasan politik di media sosial termasuk lantang mengkritik pentadbiran kerajaan, tokoh-tokoh pemimpin negara, isu rasuah, dasar-dasar dan hak asasi manusia. – AGENSI



