asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Bukan mengejar populariti atau meraih jumlah tontonan, sebaliknya sekadar mahu berkongsi rezeki kepada orang ramai,”kata Wan Muhammad Danial Wan Zanaidi, 24.
Niat murni pencipta kandungan perkahwinan itu, mendorongnya mengagihkan makanan dan minuman percuma kepada penunggang motosikal di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Video memaparkan tindakannya memberi roti dan minuman kepada penunggang motosikal tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai.
Wan Muhammad Danial berkata, aktiviti itu bukan kali pertama dilakukan kerana sudah lama melakukannya sebelum ini, tetapi tidak pernah dirakam atau dikongsikan kepada umum.
“Selepas memiliki kamera baharu, saya mengambil peluang merakam aktiviti berkenaan sebagai kandungan di media sosial tanpa mengubah niat asalnya untuk membantu orang lain.
“Semalam, saya ambil pendekatan memuat naik di media sosial sebagai kenangan, selain mahu memanfaatkan hari Jumaat untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang sedang berjuang mencari nafkah keluarga,”katanya.
Menurutnya, dia mula melakukan aktiviti kebajikan itu sekitar Mac lalu selepas mendapat pekerjaan sebagai juruteknik di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
“Pada peringkat awal, saya hanya menunggu di satu lokasi sebelum memberikan makanan dan minuman kepada penunggang motosikal yang melalui kawasan berkenaan.
“Namun, bagi kandungan dimuat naik baru-baru ini, saya memilih untuk bergerak dengan motosikal dan menyerahkan sendiri makanan kepada penunggang motosikal yang ditemui secara spontan,”katanya.
Kata Wan Muhammad Danial, detik paling menggembirakan ialah apabila melihat senyuman penerima yang tidak menyangka masih ada individu sudi berkongsi rezeki dengan orang tidak dikenali.
Katanya, kebanyakan penerima bukan sahaja mengucapkan terima kasih, malah turut mendoakan agar dirinya terus dimurahkan rezeki.
“Selagi saya sihat dan mempunyai rezeki lebih akan terus melakukan aktiviti kebajikan seperti ini.
“Pengalaman pernah menjadi penghantar makanan membuatkan saya memahami cabaran sebenar yang dihadapi golongan berkenaan.
“Pendapatan mereka tidak menentu kerana bergantung kepada pesanan yang diterima,”katanya.
Wan Muhammad Danial berharap lebih ramai masyarakat tampil menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing kerana setiap rezeki diperoleh turut mempunyai hak orang lain yang memerlukan.
“Saya harap perkara yang baik seperti ini dapat menjadi contoh kepada orang lain. Kalau kita berbuat baik dengan orang, orang pun akan berbuat baik kepada kita.
“Kalau orang buat jahat kepada kita, kita balaslah dengan kebaikan, bukan kejahatan,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




