norhayati_nordin@hmetro.com.my
MULA aktif menyanyi sejak kanak-kanak, Wani Kayrie kini dilihat semakin ‘menuai hasil’ diinginkannya dalam karier seni dan kehidupan. Pada usia muda, 26 tahun sekarang dia sudah mengumpul aset.
Memiliki kereta mewah, rumah dan perniagaan studio tarian, Wani Kayrie atau nama sebenar Syazwani Abdullah secara tidak langsung ada yang melabel berstatus ‘T20’ bagi golongan belia.
Berbicara mengenai ‘T20’, Wani Kayrie berkata dia belum sampai ke tahap itu lagi dan perjalanannya masih panjang kerana banyak yang perlu dicapai dulu serta harus lebih giat melipat gandakan usaha.
“Namun, mungkin sebab satu benda yang saya buat selama ini ialah bila dapat duit ‘show’, saya tidak belanjakan ke arah kemewahan dari segi membeli barangan berjenama seperti ‘handbag’ dan pakaian.
“Saya lebih kepada mengumpul aset. Sebab, saya ini anak sulung dalam keluarga dan perlu lebih memikir ke depan. Aktiviti menyanyi ini pun bukan boleh saya buat sampai bila-bila kerana ada ‘time frame’.
“Ditambah lagi, relevan kita sebagai penyanyi tidak tahu sampai bila orang nak dengar dan panggil kita ‘show’. Jadi, saya kumpul sebanyak mana aset yang mampu untuk kemudahan saya serta keluarga,” katanya.
Lebih sedekad bergelar anak seni sejak 2010, seiring peningkatan usia dan kematangan diri, Wani Kayrie menjelaskan dia memang melihat berlaku perkembangan sangat positif dalam kehidupan dan karier.
“Sebab sekarang ini pun, saya ada perkembangan usahakan perniagaan seperti studio tarian untuk kita ‘provide’ (sediakan) penari dan perkhidmatan peralatan persembahan.
“Jadi, kereta mewah yang saya beli itu semua adalah untuk kemudahan kumpulan penari saya bergerak pergi ‘show’ di mana-mana. Sebab dulu kalau nak pergi buat persembahan, kena guna dua atau tiga kereta.
“Tetapi, sekarang guna satu kereta sahaja sudah cukup. Kita boleh angkut bawa semua penari dan sudah mampu jimat banyak perbelanjaan dekat situ. Memang lebih memudahkan pengurusan,” katanya.
Emak sokong kumpul aset
Berbicara soal ‘support system’ yang mendorong dirinya bertindak giat mengumpul aset peribadi sebelum berusia 30 tahun, Wani Kayrie memberitahu emaknya sentiasa menitip pesan buat simpanan.
“Saya pastikan keutamaan menyimpan atas nasihat emak saya, Rukiah Kalapukong atau Mama K. Sebab, emak selalu pesan dapat duit ‘show’ ke, berlakon dan mengacara, kena buat ‘saving’ (simpanan) dulu.
“Selain itu, selagi boleh ‘invest’ (melabur), beli hartanah. Kalau nak beli kereta pun, belilah atau ‘invest’ untuk diri sendiri. Sebab, selebihnya jika ada kewangan lagi baru belanjakan untuk keinginan saya.
“Ini kerana, saya boleh kata kalau tanya mengenai keinginan diri ada banyak yang saya nak penuhi. Namun, saya fikir lebih baik duit yang ada itu dibuat juga kebaikan seperti membantu saudara-mara memerlukan,” katanya.
Ujar Wani Kayrie, dia tidak lepas tangan menghulur sumbangan membantu ahli keluarganya yang susah di kampung seperti kalau ada antara mereka yang tiada duit untuk beli kelengkapan sekolah dan barangan rumah.
“Alhamdulillah, saya okay sahaja nak bantu mana-mana ahli keluarga yang ditimpa kesusahan. Sebab saya rasa bila kita buat orang lain ‘happy’, mereka pasti doakan kita. Jadi, cubalah bantu seadanya.
“Mungkin dari situ nanti ada banyak rezeki yang Allah bagi. Kalau saya hanya fikir hendak belanja untuk keselesaan diri sendiri sahaja, saya rasa ‘a big selfish’ (sangat mementingkan diri) pula,” ujarnya.
Menurut penyanyi lagu Jangan Jangan dan Cak Cak Cekuk ini, pelbagai kejayaan diperolehnya sekarang didapati bukan kerana usaha diri saya sahaja, tetapi berbekalkan doa-doa daripada orang lain.
Bayaran ‘show’ diterima mahal
Mengulas juga bayaran ‘show’ diterimanya didakwa mahal, Wani Kayrie menepis tegas dengan memaklumkan pihak pengurusan bakat dinaunginya menetapkan harga berpatutan mengikut faktor tertentu.
“Bayaran ‘show’ saya tidaklah terlalu mahal. Tetapi, setimpal serta berpatutan mengikut komitmen yang diberi. Contohnya, kalau ‘show’ di luar Kuala Lumpur dan Selangor, mestilah ada ‘charge’ tol, minyak kenderaan dan penginapan.
“Bahkan kalau kita dapat pula tawaran ‘show’ yang besar, mesti kita rasa wow ‘best’. Tetapi sebenarnya tawaran dengan bayaran yang besar itu sudah tentu datang bersama tanggungjawab berat juga.
“Sebab, orang yang menonton itu mesti akan anggap kita beri lebih. Jadi sebenarnya, kalau kadang-kadang ada penganjur yang bagi tawaran ‘show’ besar, saya agak takut juga untuk terima.
“Malah, biasanya saya akan buat ‘show’ yang mengikut kredibiliti dan kemampuan diri saya untuk terbabit dalam persembahan itu dengan jumlah bayaran tertentu ditetapkan,” ujarnya.
Ditanya juga fokus kariernya ketika ini sama ada menyanyi, berlakon dan mengacara, Wani Kayrie memaklumkan buat masa sekarang dia memilih memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.
“Bagaimanapun, sekarang ini fokus utama saya menyanyi sahaja. Termasuk, ada kolaborasi juga dengan kempen-kempen bersama jenama besar yang menjurus ke arah tawaran menyanyi itu.
“Manakala, berlakon dan mengacara pula saya berehat seketika. Tetapi kalau ada masa terluang dan saya rasa boleh buat macam berlakon atau mengacara, akan dipertimbang jika saya larat,” jelasnya.
Wani Kayrie berkata, apapun dia kena utamakan menjaga kesihatan diri kerana kalau asyik sibuk bekerja tanpa mendapat rehat yang cukup pun tidak boleh juga sebab kita manusia biasa dan bukan robot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




