surayaroslan@mediaprima.com.my
MUSIM durian biasanya dinanti-nantikan kerana menjanjikan rezeki lumayan kepada pekebun.
Namun tahun ini, suasananya jauh berbeza, ketika pengguna tersenyum membawa pulang Musang King pada harga serendah RM9 sekilogram, ramai pekebun pula hanya mampu melihat hasil bertimbun di dusun tanpa pembeli.
Fenomena yang digelar ‘tsunami durian’ ini bukan sekadar kisah harga jatuh, sebaliknya mendedahkan kelemahan yang sudah lama terbina dalam industri durian negara.
Ramai menyangka lambakan ini berpunca daripada permintaan China yang semakin merosot.
Hakikatnya, keadaan itu lebih kompleks, kejatuhan harga bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya boleh dijangka apabila ribuan pokok yang ditanam ketika ledakan permintaan sekitar sedekad lalu mula mengeluarkan hasil pada masa yang hampir serentak.
Apabila faktor cuaca turut menyebabkan musim pembungaan berlaku serentak, pasaran akhirnya dibanjiri durian dalam tempoh yang singkat.
Ketua Jabatan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Christopher Teh Boon Sung menjelaskan tanggapan bahawa permintaan daripada China semakin merosot sebagai tidak tepat.
“Sebaliknya, selepas Malaysia memperoleh akses mengeksport durian segar ke China pada Ogos 2024, jumlah penghantaran terus meningkat dengan ketara sepanjang tahun berikutnya.
“Apa yang membanjiri pasaran tempatan sebenarnya ialah buah yang gagal memenuhi piawaian eksport.
“Pemeriksaan yang ketat terhadap saiz, bentuk dan spesifikasi keselamatan makanan menyebabkan sebahagian durian tidak dapat dihantar ke luar negara, buah-buah itu akhirnya kembali ke pasaran tempatan pada masa yang sama dengan musim tuaian negara mencapai kemuncaknya,” katanya.
Menurutnya, punca sebenar lambakan hari ini sebenarnya bermula lebih sedekad lalu.
“Sekitar 2015, apabila permintaan Musang King melonjak dan harganya mencecah paras yang sangat tinggi, ramai pekebun melihat durian sebagai tanaman paling menguntungkan.
“Di Pahang, Johor dan Pulau Pinang, ada yang sanggup menebang ladang kelapa sawit untuk memberi laluan kepada tanaman durian.
“Keputusan itu sememangnya menguntungkan ketika itu, tetapi pokok durian memerlukan masa yang panjang untuk mengeluarkan hasil, lazimnya ia hanya mula berbuah selepas lima hingga tujuh tahun dan mencapai pengeluaran maksimum sekitar usia 10 tahun.
“Ini bermakna ribuan pokok yang ditanam ketika ledakan itu kini memasuki fasa matang hampir serentak, sekali gus meningkatkan bekalan dengan mendadak,” katanya.
Selain faktor ekonomi, Dr Christopher berkata, satu lagi aspek yang sering terlepas pandang ialah biologi pokok durian itu sendiri.
“Berbeza dengan tanaman lain, pokok durian tidak berbunga mengikut kalendar tetap.
“Pembungaannya dipengaruhi oleh keadaan cuaca, khususnya tempoh cuaca kering yang mencukupi.
“Apabila cuaca kering melanda kawasan utama penanaman dalam tempoh yang hampir sama, kebanyakan pokok akan berbunga serentak sebelum menghasilkan buah beberapa bulan kemudian,” katanya.
Menurutnya, keadaan itulah yang berlaku pada awal tahun ini, selepas tempoh cuaca kering biasa selepas musim monsun, banyak kawasan penanaman mengalami pembungaan pada masa yang hampir sama.
“Akibatnya, buah turut masak serentak dan pasaran dibanjiri bekalan dalam tempoh yang singkat.
“Ada pihak mengaitkan fenomena itu dengan El Nino, namun penjelasan berkenaan kurang tepat.
“El Nino yang berlaku sepanjang 2023 hingga 2024 lebih mempengaruhi musim pengeluaran sebelumnya, sebaliknya, tuaian tahun ini lebih berkait dengan keadaan cuaca kering biasa yang berlaku pada awal tahun ini,” katanya.
Dr Christopher berkata, hakikatnya, lambakan durian bukan sesuatu yang tidak dijangka.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri sudah mengeluarkan amaran mengenai lebihan bekalan beberapa bulan sebelum musim puncak bermula.
“Malah pelbagai langkah diambil termasuk menetapkan harga lantai bagi durian kampung serta mencari pasaran eksport baharu, namun cabaran sebenar bukan sekadar menjual buah segar.
“Durian hanya mampu bertahan sekitar empat hingga tujuh hari selepas gugur sebelum kualitinya merosot, tanpa kemudahan pembekuan, pemprosesan pulpa, penghasilan pes, penyimpanan sejuk dan logistik yang mencukupi, lebihan hasil akhirnya terpaksa dijual pada apa sahaja harga yang sanggup dibayar pengguna,” katanya.
Katanya, dalam masa sama, eksport juga belum mampu menjadi penyelamat sepenuhnya.
“Penghantaran ke China masih banyak bergantung kepada pengangkutan udara yang lebih mahal, manakala laluan transit darat melalui negara ketiga masih belum dibenarkan.
“Keadaan ini mengehadkan keupayaan pengeksport menghantar buah segar dalam jumlah besar ketika musim lambakan.
“Apa yang berlaku tahun ini turut membuka mata bahawa industri durian Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk diperkukuhkan, walaupun Musang King terkenal di peringkat antarabangsa, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara pesaing daripada segi penguasaan pasaran eksport,” katanya.
Menurut beliau, kejatuhan harga ini mendedahkan kerentanan industri durian apabila Malaysia hanya membekalkan kira-kira 1.4 peratus daripada nilai import durian China, berbanding 98 peratus daripada Vietnam.
“Maka strategi yang bergantung pada satu varieti premium dan satu pasaran utama sahaja jelas berisiko.
“Persatuan Pengeksport Durian Malaysia kini menganggap RM35 hingga RM40 sekilogram sebagai harga yang mampan, jauh lebih rendah daripada RM90 pada zaman ledakan.
“Justeru, masa depan industri durian tidak lagi boleh bergantung kepada penambahan keluasan tanaman semata-mata.
“Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan keseluruhan rantaian nilai, termasuk teknologi pemprosesan, pensijilan, penggredan, penyimpanan dan penghasilan produk hiliran yang mampu memberikan nilai tambah walaupun berlaku lambakan hasil,” katanya.
Beliau berkata, musim ini mungkin membawa senyuman kepada pengguna yang akhirnya dapat menikmati durian premium pada harga mampu milik.
“Namun bagi pekebun, ia menjadi peringatan bahawa kejayaan industri bukan lagi diukur melalui berapa banyak pokok yang ditanam, tetapi sejauh mana negara bersedia menguruskan hasil apabila musim menuai tiba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




