IBARAKI – Seorang wanita berusia 49 tahun ditahan polis selepas disyaki menjahit bibir rakan serumahnya yang berusia 42 tahun sehingga tertutup dalam satu kejadian di Bandar Koga, Wilayah Ibaraki, Jepun.
Menurut pihak polis, suspek dikenali sebagai Masae Sakurai, yang bekerja sambilan didakwa menggunakan jarum dan benang untuk menjahit bibir atas dan bawah mangsa sekitar jam 1.30 tengah hari.
Siasatan mendapati kedua-dua wanita itu telah tinggal bersama sejak April 2025.
Mangsa berjaya mendapatkan bantuan pada keesokan harinya apabila bergegas ke sebuah kedai berhampiran sambil memakai pelitup muka berwarna putih.
Disebabkan tidak dapat bercakap, mangsa menyerahkan sekeping nota kepada seorang pekerja kedai yang tertulis perkataan ‘Tolong saya’.
Mangsa kemudian memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak dapat melarikan diri lebih awal kerana berasa takut terhadap suspek.
Polis turut memaklumkan terdapat beberapa individu lain yang tinggal di rumah berkenaan dan sedang mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut undang-undang berkaitan kesalahan menyerang sehingga menyebabkan kecederaan.



