mdroji@bh.com.my
Kuching: Wanita maut dipercayai lemas akibat terhidu asap dalam kebakaran bilik sewa di tingkat empat bangunan kedai di Jalan Repuk, Sarikei, hari ini.
Mangsa dikenal pasti Priscilla Ida Francis, 31, ditemukan tidak sedarkan diri dalam di bilik air bilik sewanya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.51 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat menemukan mangsa tidak sedarkan diri dalam bilik air di bilik sewa.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut tiba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu adalah kebakaran yang kedua meragut nyawa di negeri ini hari ini selepas kejadian pertama membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita di Miri, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi kuarters pekerja di Kuarters Woodman, Estate Hostel Baram, Miri itu, mangsa lelaki Berain Skam dan wanita, Terit Lenjau, kedua-duanya berusia 37 tahun, ditemukan rentung.
Dalam kejadian itu, enam lagi penghuni iaitu lima dewasa dan seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
Kebakaran membabitkan kuarters berstruktur kayu berkembar setingkat, musnah sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




