Wanita warga Indonesia ditemukan maut dibunuh – Utusan Digital

PETALING JAYA : Seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut dalam sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih, dipercayai dibunuh, di sini hari ini.

 

Dalam kejadian 7.33 pagi itu, mayat mangsa ditemukan tidak berpakaian dan hanya diselimuti kain. 

 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, penemuan wanita itu dimaklumkan orang awam melalui MERS 999 berhubung bau busuk dalam kedai makan berkenaan.

 

Kata beliau, susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang kemudiannya telah ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan mayat wanita warga Indonesia berusia awal 50-an.

 

“Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada hari Sabtu lalu ketika berniaga di kedai makan itu.

 

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Zaid berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung dengan kejadian ini diharap dapat tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Mohd Faizal di talian 011-33319871,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE