Warga Myanmar dalang pemerdagangan orang, seludup migran dicekup

Warga Myanmar dalang pemerdagangan orang, seludup migran dicekup

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lelaki warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran akhirnya dicekup pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu serbuan, semalam.

JIM Kedah dalam kenyataannya hari ini berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Serkap yang dilakukan di sekitar daerah ini semalam.

Suspek dipercayai berperanan mengurus, menjaga serta mengatur pergerakan sekumpulan migran di sebuah premis yang dijadikan lokasi penempatan sementara.

“Perbuatannya itu disyaki memenuhi elemen kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Suspek telah ditangkap bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Menerusi operasi sama, katanya, pasukan serbuan turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di premis terbabit dan berjaya menahan 29 warganegara Bangladesh dan Myanmar.

Kesemua mereka terdiri daripada 23 lelaki dan enam perempuan, termasuk seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan lima hingga 62 tahun.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan mendapati, kesemua 29 individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah, sekali gus melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top