“Yang tak merompak pula didesak letak jawatan” – PM Anwar puji hasil kerja Anthony Loke

“Yang tak merompak pula didesak letak jawatan” – PM Anwar puji hasil kerja Anthony Loke

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook susulan tawaran peletakan jawatannya, sambil menegaskan prestasi Setiausaha Agung DAP itu sepanjang menerajui kementerian berkenaan berada pada tahap sangat baik.

Anwar pada masa sama mempersoalkan desakan supaya Anthony meninggalkan Kabinet sedangkan isu utama yang perlu diperangi negara ketika ini adalah rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Menurut beliau, adalah tidak munasabah sekiranya individu yang tidak dikaitkan dengan perbuatan tersebut pula didesak untuk melepaskan jawatan.

“Namun, apa isu sebenar? Isu utama negara kita ialah rasuah, perompakan dan salah guna kuasa.
“Mengapa isu yang tidak disangkutpautkan disuruh letak jawatan? Yang tidak merompak pula yang didesak letak jawatan,” katanya, hari ini.

Kredit Foto: Malay Mail | Yusof Mat Isa

Mengulas perkembangan terkini, Anwar mengesahkan Anthony telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepadanya pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau belum mempunyai ruang mencukupi untuk meneliti perkara itu secara mendalam kerana perlu bergegas menghadiri pengebumian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Beliau baru menyerahkan surat semalam. Semalam saya kesuntukan masa kerana perlu bergegas ke majlis pengebumian jenazah Tun Dr Siti Hasmah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi memberikan penilaian positif terhadap kepimpinan Anthony di Kementerian Pengangkutan dan menegaskan perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Ahli Parlimen Seremban itu.

“Apa masalah dengan kerja beliau? Kerja beliau baik. Prestasi beliau sebagai Menteri Pengangkutan sangat baik.
“Sebab itu saya akan berbincang dengan beliau mengenai perkara ini,”jelas beliau.

Kredit Foto: Utusan Online

Sebelum ini, Anthony menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan berkenaan dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat pada 19 September lalu.

Bagaimanapun, peletakan jawatan itu hanya melibatkan Anthony, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran terus terpelihara.

Anthony sebelum ini turut menegaskan pendiriannya untuk berundur tidak berubah dan memaklumkan surat rasmi akan diserahkan kepada Perdana Menteri sekembalinya beliau daripada lawatan kerja di China.

Kini, kedudukan Anthony dalam Kabinet bakal menjadi perhatian selepas Anwar secara terbuka mempertahankan rekod kerjanya dan mengesahkan akan mengadakan perbincangan lanjut dengannya berhubung tawaran peletakan jawatan tersebut.

Sumber: Utusan Online (Arif Aiman Asrol)

Scroll to Top