Incheon: Atlet menembak Korea Selatan, Kim Ye Ji mengucapkan terima kasih kepada jutawan Elon Musk kerana menjadikannya terkenal di seluruh dunia selepas dia menjadi fenomena media sosial secara tiba-tiba, dengan pengguna memuji keyakinan dan gayanya.
Ye Ji menjadi tular di media sosial sepanjang Paris 2024 dan menarik perhatian peminat baru.
Gayanya yang unik, termasuk cermin mata futuristik, pandangan dingin, dan mainan gajah yang tergantung di pinggangnya, melonjakkan namanya ke tahap kemasyhuran.
Beberapa pengguna media sosial memuji keyakinan dan caranya sementara yang lain membandingkannya dengan ejen perisik fiksyen, James Bond, yang kemudian menarik perhatian nama-nama besar termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Musk.
“Saya menerima banyak perhatian yang tidak dijangka dan saya percaya ia adalah kerana Elon Musk, bukan kerana diri saya sendiri. Jadi, terima kasih,” kata Ye Ji, yang memenangi pingat perak dalam acara air pistol 10 meter (m) wanita minggu lalu, kepada wartawan selepas pulang ke Korea Selatan dari Paris.
Musk memberi komen di platform media sosialnya, X, bahawa Ye Ji ‘seharusnya diberi watak dalam filem aksi. Tiada lakonan diperlukan!’.
© New Straits Times Press (M) Bhd
