am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seramai 14 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana membawa dadah dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, membabitkan rampasan 73.17 kilogram dadah bernilai RM5.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua tangkapan itu membabitkan 11 lelaki dan tiga wanita.
“Negara yang terbabit Taiwan ada enam kes, Filipina dua kes, Indonesia ada tiga kes, Hong Kong satu kes, Macau satu kes, Maldives satu kes.
“Selain itu, 51 individu membabitkan 41 kes ditahan dalam tempoh sama ketika cuba membawa dadah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kesemua 51 tangkapan itu membabitkan individu daripada 13 negara, dengan pemegang pasport United Kingdom mencatat jumlah tertinggi iaitu 14 orang, diikuti Malaysia (12), Singapura (lapan), Perancis (lima), Indonesia (dua), Hong Kong (dua), Jepun (dua), Thailand, Ireland, Slovakia, India, Portugal dan Uganda masing-masing seorang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, daripada 51 orang yang ditangkap di KLIA, sebanyak 1.2 tan dadah dirampas yang membabitkan nilai RM97 juta.
“Jadi, ini menunjukkan kejayaan yang PDRM lakukan di KLIA,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan perbandingan jumlah dadah yang dirampas PDRM di KLIA dengan jumlah yang berjaya dibawa keluar dan dikesan pihak berkuasa luar negara, kira-kira enam peratus daripada cubaan berkenaan berjaya dikesan di luar negara.
“Kalau kita ambil dua nilai ini ataupun statistik ini, maksudnya enam peratus daripada yang kita rampas ataupun berjaya gagalkan cubaan untuk bawa keluar. Berdasarkan statistik ini, PDRM melakukan yang terbaik di KLIA,” katanya.
Sehubungan itu, Hussein menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran sindiket yang menjanjikan pelbagai insentif, upah lumayan atau percutian.
“Jadi, itu mesej kami. Dalam setiap siri kenyataan media, kita menekankan perkara ini supaya warganegara kita sentiasa berwaspada agar tidak terjebak atau terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pelbagai insentif, upah, percutian dan sebagainya, tetapi akhirnya mereka terjerat dalam sindiket dadah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

