puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Terkesan dengan peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar, pengarah dan penerbit, Choong Lin Loong, mengambil langkah untuk menghasilkan filem terbaharu berjudul Is Not a Joke.
Menurut Lin Loong atau dikenali dengan panggilan Captain Denil, kejayaan filem mengenai sindiket pelaburan, Oppa, meraih Anugerah Filem Malaysia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Asia Macau pada 2024 mencetuskan idea buatnya untuk menghasilkan naskhah berkenaan.
“Tahun lalu, kes buli di sekolah meningkat. Saya bertanya kepada pihak polis, mengapa tidak kita beri laluan kepada isu buli terlebih dahulu?
“Pihak polis bersetuju kerana ini merupakan isu mendesak yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.
“Kita mengambil inspirasi daripada kes-kes yang berlaku, namun ia diolah secara fiksyen. Saya tidak mahu naskhah ini mengguris kembali hati keluarga mangsa untuk kali kedua sekiranya ia dipaparkan secara bulat-bulat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran treler Is Not a Joke di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu.
Berkongsi mengenai pemilihan judul filem itu, jelas Captain Denil, Is Not a Joke dipilih kerana pelaku buli sering menggunakan alasan ‘hanya bergurau’ selepas mencederakan atau menyakiti mangsa.
“Saya mahu tegaskan bahawa buli bukan satu gurauan,” katanya.
Mengenai proses pembikinan pula, tambahnya filem berkenaan menjalani penggambaran selama 33 hari di beberapa lokasi strategik termasuk PULAPOL, Menara KPJ dan Bukit Aman.
Sementara itu, anggota polis sebenar turut terbabit dalam beberapa babak bagi memastikan jalan cerita dan aksi yang dipaparkan kelihatan lebih realistik.
Menurut Captain Denil lagi, program berkenaan bertujuan mendidik golongan pelajar mengenai kesan negatif buli, selain memberi pendedahan mengenai langkah yang boleh diambil bagi menanganinya.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah sekolah di Malaysia.
“Program ini turut disertai pihak polis, CyberSecurity Malaysia dan agensi berkaitan yang akan memberikan ceramah kesedaran ringkas kepada pelajar,” katanya.
Filem berbahasa Mandarin, Is Not a Joke, dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini atau sempena cuti persekolahan dan Tahun Baharu Cina akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

